PAS jamin kepentingan kaum bukan-Islam

islam

KUALA LUMPUR: Tindakan menggelar PAS dengan rasis, ekstrem, Taliban, kolot, lebai dan lain-lain lagi sebenarnya adalah satu bentuk Islamophobia, sedangkan parti ini membawa perjuangan Islam dan bukan berteras kaum sebagaimana parti lain.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, persepsi ini dalam masyarakat dibina atas informasi melalui media cetak sebelum ini dan media sosial sekarang dalam pelbagai bahasa yang menjadi rujukan kaum bukan-Melayu.

Perkara tersebut dikupasnya dalam Bual Bicara Politik “PAS Dalam Kerajaan: Ke Mana?” secara langsung menerusi Facebook anjuran Penerangan PAS Selangor, malam kelmarin.

Katanya, sudah 30 tahun PAS memerintah Kelantan dengan melibatkan sama kaum bukan-Islam, termasuk juga di Terengganu dalam pelbagai peringkat masyarakat sebagai Pegawai Menteri Besar dan EXCO, Ahli Majlis, Penghulu dan lain-lain.

Namun ujarnya, selama 6 dekad ini, masyarakat bukan-Islam masih dibina tembok pemisah dengan PAS menerusi masalah komunikasi dan interaksi yang diwujudkan antara kaum terutama melibatkan orang Melayu dan bukan-Melayu.

Ketika ini pula katanya, kerap diwujudkan isu keharmonian kaum, sedangkan rakyat memerlukan perpaduan untuk hidup di negara ini di mana aspek tersebut telah diangkat PAS dengan berpegang kepada Islam yang mengakui kewujudan masyarakat majmuk.

Menurutnya, PAS akan terus membawa mesej kepada masyarakat bukan-Islam bahawa Islam adalah ‘way of life’, selain ‘rahmatan lil ‘alamin’ yang bukan semata-mata ungkapan,mserta hormat terhadap budaya dan kepercayaan mereka.

Beliau dalam bual bicara ini turut mengupas pembawaan Nabi Muhammad S.A.W yang banyak mendekati masyarakat bukan-Islam sepanjang dakwah Baginda di Makkah dan juga pemerintahan Islam di Madinah lebih 1,400 tahun dahulu.

Kata Dr Halimah, PAS berjuang bukan kemaruk merebut jawatan, sebaliknya membawa agenda kebajikan dan kebaikan bukan sahaja untuk kehidupan di dunia, tetapi juga akhirat yang mesti menjadi mesej dakwah ahli PAS kepada masyarakat majmuk.

Beliau juga mengajak segelintir masyarakat agar menghentikan sikap menyebarkan kebencian sebaliknya meluaskan hubungan kasih sayang serta memahami Perlembagaan Negara yang menyatukan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 29/5/2020