Selamat Hari Wartawan Nasional 2020 – MB Kedah

SAYA bagi pihak peribadi dan Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional 2020 buat semua wartawan tanah air yang selama ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaporkan maklumat menerusi pelbagai medium berita.

Sesungguhnya peranan wartawan amatlah penting dalam pembentukan masyarakat yang bermaklumat terutama bagi Kerajaan Kedah yang baru sahaja berusia kira-kira dua minggu.

Advertisement

Wartawan terdiri daripada pelbagai kaum dan pegangan agama namun dalam konteks ini, sebagai orang Islam, ingin saya mengingatkan sahabat-sahabat wartawan yang beragama Islam mengenai prinsip agama dalam kita menyebarkan berita.

Dalam Surah al-Hujarat Ayat 6, Allah SWT mengingatkan

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ

Yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Islam mendidik kita sama ada wartawan ataupun bukan untuk bersikap profesional dan berpegang pada etika dalam apa sahaja pekerjaan.

Ini kerana kita bukan sahaja hidup di dunia, tetapi akan ada hari kemudian di mana kita akan dipertanggungjawabkan atas segala tindak-tanduk dalam kehidupan kita sekarang.

Justeru setiap berita atau maklumat yang disebarkan oleh wartawan haruslah berpaksi pada kebenaran, ketepatan dan adil serta membawa kebaikan kepada masyarakat, bukan sebaliknya.

Maklumat yang disebarkan oleh wartawan akan mempengaruhi pandangan anggota masyarakat, pemikiran mereka dan tindak-tanduk mereka berhubung sesuatu perkara.

Sehubungan itu, atas nama pertanggungjawaban yang kita akan dipersoalkan di akhirat kelak, jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada salah faham, kekeliruan dan pandangan salah apa lagi fitnah yang boleh merosakkan malah membinasakan kehidupan kita seluruhnya.

Saya dan Kerajaan Kedah memang amat mengharapkan peranan wartawan sebagai ‘watchdog’ atau pemerhati yang bertanggungjawab dalam usaha kami melakukan semak dan imbang dalam pentadbiran.

Kami akan bersikap terbuka dalam liputan berkaitan hal-hal masyarakat yang perlu didedahkan dan memerlukan perhatian kerajaan.

Namun laporan itu haruslah benar dan tepat serta tidak berunsur manipulasi atau sensasi yang boleh menjejaskan hubungan kerajaan dan masyarakat.

Selain itu, janganlah bersikap bias atau membenarkan diri dipergunakan oleh pihak lain yang berkepentingan diri tanpa memikirkan kepentingan masyarakat seluruhnya.

Sebagai orang Islam, kita diikat oleh tanggungjawab Hablumminallah iaitu hubungan kita dengan Allah SWT dan Hablumminannas, hubungan kita sesama manusia terutama dalam urusan menyebarkan maklumat yang jika tersilap langkah, boleh mengundang persepsi yang tidak baik terhadap sesuatu pihak walaupun hanya dengan satu perkataan.

Bagi yang bukan Islam, jika saudara saudari berpegang pada prinsip ini, saudara saudari juga akan menjadi seorang wartawan yang benar-benar beretika, baik dan unggul di mata masyarakat.

Ini bukan teguran, tetapi sekadar peringatan untuk semua wartawan termasuk diri saya sendiri yang sememangnya juga amat berminat dalam menulis pandangan saya di media sosial.

Sepanjang penglibatan saya dalam politik, sememangnya saya mendapat persefahaman dan kerjasama yang amat baik daripada wartawan, malah ramai juga yang menjadi sahabat akrab saya dalam pergaulan di luar profesion.

Setinggi penghargaan ikhlas daripada saya buat anda semua.
Selamat Hari Wartawan Nasional 2020 buat semua wartawan Malaysia.
Terima kasih.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
29 Mei 2020- HARAKAHDAILY 29/5/2020