Dua tiang seri patah

DALAM kekalutan mengendalikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Kota Bharu pada 30 Mei 2002, isteri mengadu sakit perut, sudah sampai masa untuk bersalin anak sulung kami. Saya bergegas pulang ke Pasir Puteh, tapi masanya belum tiba. Esok paginya, saya sempat mendengar Ucapan Dasar Presiden PAS yang disampaikan oleh Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor. Usai ucapan itu, saya berkejar balik ke Pasir Puteh, dan petangnya baharulah Allah mengurniakan saya rezeki, anak lelaki yang esok usianya sudah masuk 18 tahun. Sepupunya, anak Arwah Cikgu Fauzi lahir kemudian sedikit. Neneknya berseloroh, “letaklah namanya Mohd Putik” sebab lahir pada hari peristiwa besar di Dewan PUTIK itu. Pak Haji Subky Latiff berkata pada saya, “Elok anak enta itu diberi nama Mohd Suqiu, supaya orang ingat dengan tuntutan Cina dalam Suqiu itu.” Suqiu adalah sebuah NGO Cina yang mengemukakan pelbagai tuntutan dalam Pilihan Raya Umum 1999.

Tetapi saya memberikan namanya ‘Ayman’ kerana menghargai kesungguhan Dr Ayman Zawahiri menentang kezaliman Amerika ke atas umat Islam pasca 11 September 2001 itu. Sepupunya diberi mana ‘Fadhillah’ oleh Arwah Cikgu Fauzi, kerana mengambil nama al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang wafat 23 hari selepas menyampaikan ucapan dasar itu.

Selepas dua minggu isteri bersalin, saya kembali ke Kuala Lumpur untuk berkerja. Pada 22 Jun 2002, saya bertolak pulang ke Kelantan dengan kakak ipar, sedangkan hari itu, Umno sedang mengadakan Perhimpunan Agungnya di PWTC. Jam 6:30 petang, kami singgah di rumah sepupu di Machang. Selesai solat Maghrib, semua mata tertumpu ke kaca TV untuk mendengar Ucapan Penggulungan oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamed. Selalunya Presiden Umno itu akan mencerca PAS dalam ucapannya. Hati saya sebaliknya terkenangkan Ustaz Fadzil di HUKM yang mengalami komplikasi selepas melalui pembedahan jantung beberapa hari sebelumnya.

Advertisement

Tiba-tiba suasana menjadi kecoh. “Why… why… why?” kelihatan Datuk Seri Rafidah Aziz sudah tercegat di sisi rostrum tempat Dr Mahathir sedang berucap. Rupa-rupanya Dr Mahathir telah membuat kejutan kerana mengumumkan perletakan jawatan secara mengejut pada sesi penutup Perhimpunan Agung Umno itu. Kecoh sedunia, seperti dia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri baru-baru ini. Tiba-tiba Umno tiada Presiden!

Pagi esoknya, saya mendapat kiriman sms dari Pejabat Agung PAS memberitahu perihal kewafatan Ustaz Fadzil pada pagi tersebut. “Oh… PAS juga kehilangan Presiden,” hati saya mengeluh. Saya berkejar ke Kedah dengan ipar saya yang lain. Menjelang Asar, saya sudah berada di Hutan Kampung, Alor Setar. Tenggelam dalam kesesakan puluhan ribu manusia. Terpaksa berjalan kaki ke Kuala Nerang. Sampai di Kepala Batas, kapal tentera yang membawa jenazah Ustaz Fadzil mendarat, sebelum van Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Penang terpaksa membelah ribuan pejalan kaki itu.

PAS kehilangan Presiden, tetapi Presiden Umno itu tak jadi letak jawatan. Bukan kali pertama! Letak… Tarik balik. Kami semua bersedih dengan kehilangan tokoh yang amat kami kasihi. Saya menjadi Pegawai Khas Pengerusi GERAK pada 1998, ketika keadaan politik sedang menghangat kerana pertembungan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Ustaz Fadzil adalah Pengerusi GERAK yang sangat berkaliber di mata rakyat. Ketika wafatnya, beliau adalah Ketua Pembangkang.

“Ini bukan kali pertama Presiden PAS meninggal dalam jawatan. Tahun ’69 dulu lagi dahsyat,” kata Ustaz Hassan kepada saya.

“Kenapa lebih dahsyat, Ustaz?” saya segera bertanya. Saya tahu, tahun itu PAS kehilangan Dr Burhanuddin al-Helmy.

“Masa 13 Mei itu, Dr Burhanuddin dalam sekatan politik, dia pula tengah uzur teruk sejak awal tahun. Bila berlaku rusuhan, negara jadi darurat, MAGERAN. Dalam bulan Sembilan (September) ’69 Kerajaan tarik balik sekatan politik, tetapi hujung Oktober itu (25 Oktober 1969), Dr Burhanuddin meninggal dunia di Taiping.

“Dua minggu lepas itu (8 November 1969), Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi (Hamzah) pula meninggal dunia. Yang Dipertua Agung dan Setiausaha Agung PAS mati serentak. Patah Kedua-dua tiang seri PAS,” cerita Ustaz mengenai kisah kematian dua pemimpin utama PAS dalam jangka masa yang dekat. Ternyata lebih memeritkan, berbanding kami yang kehilangan Ustaz Fadzil pada 2001.

“Sejak bila Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) pangku jawatan Yang Dipertua (YDP) Agung ini, Ustaz?” saya mengimbau semula kenangan lama Ustaz.

“Dulu Dr Burhanuddin dan Prof Zul (Zulkifli Mohamad) bergandingan sejak ’56. Ustaz Othman (Abdullah) jadi Naib Yang Dipertua Agung. Tahun ’60 Asri menang jawatan Naib YDP Agung lawan Ustaz Othman. Tiba-tiba sebab gaduh dengan Asri, Ustaz Othman masuk Umno. Asri dah jadi orang nombor tiga PAS. Lepas Pilihan Raya’ 64, Prof Zul eksiden di Kuantan, mati. Asri yang baru jadi Menteri Besar Kelantan, terpaksa pangku jawatan Timbalan YDP Agung. Hassan Adli pula pangku Naib YDP Agung.

“Sebab isu konfrantasi (dengan Indonesia), Dr Burhanuddin kena ISA awal tahun ’65. Jadi Pemangku Timbalan YDP Agung kena pangku YDP Agung pula. Pemangku Naib YDP Agung, pangku Timbalan YDP Agung. Bila Dr Burhanuddin bebas tahun’ 66, dia takleh aktif politik, sebab kena sekatan. Jadi Asri terus pangku, walaupun atas kertas, Dr Burhanuddin kekal YDP Agung. Asri yang menjalankan kerja YDP Agung.

“Kira-kira sebulan sebelum Dr Burhanuddin meninggal, baru sekatan politik itu dilepaskan. Tapi tak dapat jugak bergerak kerana sakit teruk,” Ustaz menghurai panjang lebar mengenai perubahan pucuk pimpinan sepanjang tahun 1960-an kerana tekanan politik Perikatan itu.

“Kenapa Dr Burhanuddin boleh uzur teruk sekali,” saya mula rasa ada sesuatu yang tak kena, kerana sebelum itu, Dr Burhanuddin ditahan ISA.

“Masa dalam tahanan itu, Dr Burhanuddin diseksa. Dia berkaca mata, tapi pihak penjara tak benar dia pakai cermin. Dia susah nak baca Quran. Dia pula ada asma, tiba-tiba dikurung dalam bilik berhabuk dan kotor, asma itu datang balik, dan dia sakit teruk sebab asma.

“Satu lagi, masa dalam tahanan, doktor nasihat suruh dia banyak minum air putih. Dia pun tahu, sebab dia pun doktor juga. Bila Dr Burhanuddin minum air, terasa nak kencing, tapi tak dibenarkan kencing. Setiap kali dia nak ke tandas, warden akan halang, kata ada sesi soal siasat dan macam-macam alasan. Bila menahan kencing terlalu lama, dan selalu begitu, datang pula penyakit lain. Itulah cara Dr Burhanuddin diseksa fizikal. Seksaan mental, takyah kira lah.

“Akibat itulah, dia dibawa ke Hospital Taiping dan dibebaskan. Kerajaan bimbang, takut dia mati dalam tahanan. Kita hantar Dr Burhanuddin gi buat operation di Australia masa itu. Lepas bebas, kena sekatan politik pula. Itu kira rayu pada Kerajaan, untuk benarkan Dr Burhanuddin kekal sebagai YDP Agung PAS. Akhirnya, dibenar hanya pegang jawatan atas kertas, tapi tak boleh aktif,” ngilu saya mendengar cerita mengenai penyeksaan yang dialami oleh Dr Burhanuddin seperti Ustaz ceritakan itu.

“Ustaz Abdullah Zawawi itu sakit juga ke masa itu, Ustaz?” yang beralih kepada Setiausaha Agung PAS pula.

“Dia dah sakit lama, masa di Singapura lagi. Kencing manis, buah pinggan. Tapi dia jenis orang kuat berkerja, tak peduli pada sakit. Lepas 13 Mei itu, dia sakit teruk,” Ustaz memberi latar belakang keuzuran Setiausaha Agung PAS itu pula.

“Ustaz Abdullah Zawawi ini orang mana, Ustaz?” saya cuba berkenalan dengan tokoh tersebut.

“Dia sekampung dengan Prof Zul, Kota Lama Kiri. Tak jauh dari (Madasarah) Yahyawiyah. Abang dia Mufti Perak dulu, Mufti Haji Ismail Hamzah. Dia lama di Singapura, jadi wartawan, lepas lulus (Madrasah) al-Junied. Di Kuala Lumpur, dia duduk di Pejabat Agung PAS di tepi Masjid Jamik Kampung Baru, siang berkerja di NST (New Strait Times). Dulu, di Singapura, jadi Setiausaha Parti Rakyat, lepas itu Setiausaha Agung PKMM. Lepas dia, Haji Wanjo Abu Bakar dengan Ustaz Taha Suhaimi, tubuh PAS Singapura, dia jadi Setiausaha PAS Singapura. Dr Burhanuddin lantik dia jadi Setiausaha Agung PAS masa di Singapura itu lah. Lepas itu dia pindah ke Kuala Lumpur,” panjang Ustaz memberikan latar belakang Ustaz Abdullah Zawawi.

“Sejak bila dia jadi Setiausaha Agung PAS, Ustaz?” saya terus bertanya.

“Masa ana jadi Ketua Pemuda PAS Perak itu dia baru jadi Setiausaha Agung PAS. Tahun ’62 lebih kurang. Sebelum itu, Lawyer Haji Hashim (Abdullah) Baghdad jadi Setiausaha Agung PAS. Masa ana balik tahun ’68, Ustaz Abdullah Zawawi masih Setiausaha Agung. Ertinya lebih kurang antara 1962 sampai 1969,” Ustaz tak jemu bercerita.

Untuk ketahui lebih detail mengenai Ustaz Abdullah Zawawi, boleh baca tulisan sahabat saya, Dr Kamal Shah (anak Ustaz Abdullah Zawawi) di
http://lintauartstudio.blogspot.com/2012/08/secebis-kisah-perjuangan-abdullah-zawawi.html?m=1

“Bila patah dua tiang seri ini, sape yang ganti?” saya bertanya lagi. Hal ini agak penting, kerana ketika ini banyak urusan-urusan politik negara yang sangat penting selepas 13 Mei itu.

“Datuk Asri terus pangku jawatan YDP Agung PAS sepanjang MAGERAN itu. Ustaz Baharuddin (Abdul Latiff), abang Pak Haji Subky (Abdul Latiff) dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru. Dia AJK Agung PAS sejak ’56. Dulu orang kuat Hizbul Muslimin. Keluaran Maahad Al-Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol. Mereka yang kemudi PAS sampai tamat darurat pada akhir 1970,” Ustaz menjelaskan mengenai pemimpin yang mengambil alih kepemimpinan parti selepas ‘kepatahan dua tiang seri’ itu.

Pemimpin datang dan pergi. Yang istiqamah pasti disanjung tinggi, yang khianat pasti di dunia dan akhirat akan rugi. Pemimpin boleh silih berganti, dasar perjuangan tetap tidak berganjak lagi.

Semoga seluruh pemimpin dan pejuang yang istiqamah termasuk Ustaz diampuni Allah.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 30/5/2020