Laporan polis terhadap fitnah Leman Raja Lawak

SIK: PAS Kawasan Sik telah membuat laporan polis berikutan satu muat naik di laman sosial Facebook peribadi milik Sulaiman Ibrahim yang merupakan mantan Ketua PAN Sik kerana berupa fitnah dan dakwaan palsu.

Advertisement

Laporan polis tersebut dibuat Ketua Penerangan PAS Sik, Ustaz Mohamad Subky Sulaiman terhadap bekas peserta program realiti Maharaja Lawak Mega 2012 itu di Balai Polis Sik, di sini petang semalam.

Menurut Subky, muat naik bertarikh 26 Mei jam 10:56 malam tersebut telah mengaitkan nama beliau dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor secara khusus yang menjadi fitnah terbuka oleh bekas artis itu.

“Dengan membuat gambaran bahawa saya secara langsung terkait dengan dakwaan palsu bahawa AJK PAS termasuk Sanusi suka bergaduh, ingin membuat kekerasan fizikal kepada penulis dan menggambarkan AJK PAS Sik sedang bermusuhan akibat isu balak.

“Dengan niat jahat dan fitnah, penulis dengan sengaja menulis bahawa Muhammad Sanusi dengan tujuan memburuk dan memfitnah beliau sebagai broker balak iaitu satu serangan peribadi terhadap YAB Menteri Besar Kedah.

“Juga bermaksud menggambarkan Sanusi sebagai tidak berintegriti dan melangkaui undang-undang ketika beliau bekerja sebagai Setiausaha Politik kepada Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak (MB Kedah 2008 – 2013),” ujarnya.

Menurut Subky, tujuan laporan tersebut dibuat supaya siasatan dan pendakwaan undang-undang dapat dibuat terhadap pemilik akaun tersebut kerana dengan sengaja dan terbuka telah memfitnah secara buruk dan menghasut kebencian ramai.

Sedangkan PAS Kawasan Sik ujarnya, merupakan pertubuhan berdaftar dan sah di sisi undang-undang, selain perkara sama turut dibuat penulis terhadap Menteri Besar Kedah dengan tuduhan yang direka-reka. – HARAKAHDAILY 30/5/2020