‘Sudah-sudahlah’ – Rani Kulup

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup menasihatkan peguam kontroversi, Siti Kassim untuk membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Advertisement

Gesaan tersebut disuarakan susulan kenyataannya sebelum ini mengeluarkan kenyataan melampau yang menggesa kerajaan mengharamkan sekolah tahfiz sekiranya kerajaan mahu mengharamkan arak

“Siti Kassim, sudah-sudahlah, jangan menaikkan sensitiviti rakyat,” ujarnya menggesa permohonan maaf terbuka dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan polis berhubung isu terkini di Malaysia termasuk isu membabitkan warga asing, pelarian Rohingya, isu pemandu mabuk, kenyataan Siti Kassim, dan video tular perkampungan Bangladesh.

“Ayah sayang kamu. Tapi ayah mahu kamu tarik balik dan mohon maaf seluruh umat Islam. Jangan kaitkan arak dengan tahfiz,” kata Rani Kulup lagi.

Hantar pulang PATI disokong

Disamping itu, Abdul Rani mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menghantar pulang Pendatang Tanpa Izin (PATI) di dalam negara ini.

“Alhamdulillah, kerajaan memerhati, mendengar rintihan keluh kesah rakyat dalam negara ini,” katanya.

Menyentuh isu pemandu mabuk juga beliau memuji Perdana Menteri yang telah mengarahkan tindakan keras diambil terhadap pemandu mabuk.

“Saya mencadangkan kepada pemandu mabuk, kalau dapat tangkap disabitkan dengan mabuk jangan dijamin. Kalau langgar orang tidak mati, cedera atau kecederaan seumur hidup hendaklah lesen pemanduannya digantung.

“Kedua pemandu yang melanggar itu, jika disabit kesalahan dengan adanya bukti yang kukuh hendaklah dipenjara selama 50 tahun, denda RM500,000 lagi kepada mangsa dan dikenakan sebatan. Kalau mati hukum gantung mandatori dan denda RM1 juta beri kepada keluarga mangsa dan menyara seumur hidup,” katanya.

Seterusnya, isu satu video yang dimuatnaik ke laman sosial yang menyatakan adanya perkampungan Bangladesh di Kampung Bharu Sungai Buloh termasuk warga asing memiliki kedai perniagaan.

“Takkan terlepas pandang perkara begini. Jadi ayah gesa telitilah, imigresen, KDN, JAKIM dan PDRM disiasat hingga ke akar umbi. Jangan dibenarkan sama sekali benda ini menggugat keselamatan negara dan kedaulatan negara kita,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 31/5/2020