Apakah Melayu rasis atau sebenarnya toleransi?

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin

KALAU kita berjalan di sekitar Kuala Lumpur sebelum wabak Covid-19 menular, lebih-lebih lagi di sekitar Jalan Tunku Abd Rahman, Jalan Raja Laut, Masjid India, Masjid Jamek dan Central Market kita akan dapati ramai warga asing yang berniaga dan berkumpul di kawasan ini, terasa seperti bersiar-siar di sekitar Karol Bagh di New Delhi atau di Culcutta dan kadang-kadang terasa macam di Chittagung.

Inilah kawasan ‘favourite’ saya setiap kali musim cuti sekolah 40 tahun yang lalu bila ke Kuala Lumpur mengunjungi dan tinggal di rumah arwah Mak Long yang mana almarhum suaminya adalah anggota Polis Trafik Bandaraya.

Advertisement

Pada hujung tahun 90-an kawasan ini seperti salah satu kota di Indonesia kerana dibanjiri oleh warga Indonesia termasuk para peniaga. Hari ini sekiranya kita bersiar-siar di sini terasa seolah kita berada sama ada di India atau Bangladesh seperti yang saya gambarkan di atas.

Mengapa ini terjadi? Rasiskah bangsaku? Atau bangsaku tidak peduli?

Atau pemerintah yang tidak mahu ambil pusing?

Begitu juga kita hari ini boleh menikmati kopi Aceh Ulai Kareng dan Mee Acheh di Kampung Kubu Gajah Sungai Buloh Selangor, suasananya persis seperti di Indonesia dari segi susun atur bangunan dan rumah kedainya dan khabarnya di Selayang pula di kuasai oleh orang-orang Rohingya.

Kampung Melayu Sungai Buloh juga hari ini mendapat jolokan sebagai ‘Kampung Bangla’ disebabkan ramainya warga Bangladesh tinggal di sini termasuk menjalankan aktiviti berniaga.

Kalau kita menjelajah ke kawasan pedalaman kita boleh bertemu dengan ramai warga asing yang bekerja sebagai penoreh getah, pemotong buah sawit juga sebagai pekebun sayur di kampung-kampung khususnya kawasan berpenduduk Melayu.

Saya juga melihat seorang berketurunan Pakistan membuka kedai runcit di tengah-tengah kampung Melayu di Kuala Lipis, Pahang. Masyarakat Melayu menerima mereka dengan baik walaupun mungkin ada di antara mereka tidak mempunyai permit tinggal dan bekerja dengan sah, tetapi mereka tidak diadukan ke pihak yang berkuasa.

Kalau di Melaka, kita ada Kampung Kemboja di Bukit Rambai dan mereka hari ini menguasai penjualan pakaian busana muslim dan kain-kain di beberapa lokasi di Melaka.

Pendek kata Malaysia adalah syurga buat orang asing datang mencari nafkah sehingga ada sesetengah sektor telah dikuasai oleh mereka.

Mereka bertapak dan seolah-olah tidak mahu pulang ke negara asal mereka. Rasiskah orang Melayu? Atau memang bangsa ini tidak peduli?

Restoren dikuasai oleh orang-orang India bertopengkan nama ‘Mamak’ dan Nasi Kandar, begitu juga kedai gunting rambut, Kedai Tom Yam dari Perlis sampai ke Sabah siapa yang kuasai? Rasiskah bangsaku?

Tidak usah di Jakarta atau Surabaya cukup kita berjalan-jalan ke Kota Medan, Padang atau Pekanbaru di Sumatera yang paling hampir dengan kita bertemukah kita dengan restoren roti canai atau nasi lemak milik orang Malaysia? Sedangkan di negara kita amat mudah untuk kita mendapatkan masakan Ayam Penyet, Bakso, Rawon dan beberapa lagi kulineri Indonesia. Bagaimana dengan Golok, Danok dan Hat Yai di Thailand, bertemukah kita?

Sebenarnya inilah yang bermain dibenak saya setiap kali saya keluar negara. Selama tujuh tahun saya tinggal di Pekanbaru, Riau, terdapat hanya sebuah restoren milik orang Malaysia yang menjual roti canai dan nasi lemak. Di sinilah tempat kami orang-orang Malaysia yang bekerja di Riau berkumpul, sayangnya kedai ini seperti hidup segan mati tak mahu dan akhirnya tutup.

Orang Melayu Malaysia ini merupakan satu bangsa yang mempunyai sikap tolerensi yang amat tinggi apa lagi kalau ianya sesama umat Islam walaupun berbeza bangsa, keturunan dan negara. Oleh sebab itu orang-orang Pakistan boleh hidup dengan menjual karpet dan akhirnya memiliki kedai karpet dan perabot.

Orang-orang India boleh berniaga nasi kandar, akhirnya menguasai restoren Nasi Kandar di seluruh negara. Begitu juga dengan kaum yang berasal dari negara China, walaupun mereka sendirian di kampung Melayu, mereka boleh hidup tanpa apa-apa diskriminasi dan gangguan dari orang-orang Melayu pribumi. Bahkan perniagaan mereka semakin berkembang disokong oleh orang-orang Melayu yang semuanya beragama Islam.

Oleh itu, adalah sangat tidak tepat apabila orang-orang Melayu yang mula menunjukkan kecenderungan untuk bersatu atas dasar politik Melayu dan agama dilebelkan sebagai rasis dan anti bangsa lain. Apakah bila kita orang-orang Melayu menolak politik cauvinis dan ultra Kiasu dianggap sebagai Taliban dan mengancam keharmonian negara yang berbilang kaum ini?

Sedangkan di saat politik negara didominasi oleh orang Melayu hampir lebih 64 tahun lamanya, kaum-kaum lain hidup dalam harmoni dan bebas untuk mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa apa-apa sekatan. Mereka berjaya membina empayar perniagaan atas sokongan dari anak-anak peribumi sendiri.

Walaupun begitu, kebanjiran pendatang asing ke negara ini sehingga mereka boleh mengusai pasar-pasar dan perniagaan di beberapa sektor tertentu juga harus dibendung. Kita tidak boleh menjadikan sikap toleransi yang tinggi dan kealpaan bangsa ini hingga menggadaikan apa yang kita miliki. Kerajaan dan pihak yang berkuasa harus melakukan suatu tindakan tegas agar tidak terjadi ‘kera di hutan disusukan, anak dirumah kelaparan’.

Kita memuji tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan hari ini apabila melakukan operasi besar-besaran untuk menangkap PATI dan mengembalikan mereka ke negara asal. Sebaiknya usaha ini harus dilakukan secara berterusan bukan kerana Wabak Covid-19 tetapi lebih kepada menjaga kedaulatan negara dan survival warga sendiri.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

BAKRI JAMALUDDIN
Yang DiPertua PAS
Kawasan Tangga Batu – HARAKAHDAILY 1/6/2020