Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat

ALHAMDULILLAH, ramai sahabat terutama yang tinggal di Seberang Perai atau alumni Madrasah al-Masriyah segera mengenali wajah madrasah ini bila saya menunjukkan gambar-gambar madrasah tersebut yang bertarikh 1950-an dan 2001. Ramai juga yang prihatin, walaupun tidak dapat mengecam bangunan apakah sebenarnya itu…

Dua gambar tersebut sebenarnya ialah gambar Madrasah al-Masriyah yang terletak di Jalan Abdul Kadir, Tanah Liat, Bukit Mertajam. Walaupun ramai juga yang dapat menjawab mengenai bangunan ini, tetapi tidak ada seorang pun yang menjawab dengan tepat apakah kenangan penting di madrasah ini, termasuk Zahirul Nukman yang mengatakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali pertama berlaku di sini.

Madrasah al-Masriyah adalah madrasah yang kedua dibina di Tanah Melayu aka Malaya dalam rangka pembaharuan sistem pendidikan Islam, melengkapkan peranan sistem pondok yang wujud lama sebelumnya. Madrasah ini dibina oleh Sheikh Mohd Salleh bin Baki al-Masry pada 1905. Madrasah yang pertama dibuka ialah Madrasah al-Ihsaniyah, Teluk Intan pada 1901.

Advertisement

Apakah pentingnya madrasah ini kepada perjuangan Islam di Tanah Melayu?

Kenangan pertama

(1) Mudir madrasah ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, iaitu menantu Sheikh Mohd Salleh al-Masry adalah pengasas PAS. Beliau adalah Yang Dipertua Agung PAS yang pertama.

(2) Selepas Mesyuarat Agung PAS Kali Pertama di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas pada 3 Januari 1953, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah memindahkan Pejabat Agung PAS ke bangunan ini. Ertinya, bangunan Madrasah al-Masriyah pernah menjadi Pejabat Agung PAS pada 1953.

(3) Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah membawa PAS menyertai National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar bersama tujuh Menteri Besar pada April 1953, dan juga menyertai National Convention tajaan Umno-MCA pada Ogos 1953. Apabila isu ini berbangkit dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Bagan Datoh pada 26-27 Ogos 1953, satu Mesyuarat Agung Khas PAS diadakan di Madrasah al-Masriyah pada 26 September 1953 untuk memutuskan sama ada PAS menyokong National Conference atau National Convention. Disebabkan mesyuarat agung khas itu memutuskan bahawa PAS menyokong National Convention, pada hari itu juga, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah meletakkan jawatannya.

Kenangan kedua

(1) Pada generasi berikutnya, berlaku pergolakan kepemimpinan dalam PAS, sesuai dengan perubahan iklim politik dunia Islam yang memasuki abad ke-15 Hijrah (1400H) pada 1980 yang terkenal sebagai era kebangkitan semula Islam. Salah seorang pelopor dalam kebangkitan ini ialah Ustaz Ahmad Hassan Salahuddin Ahmad Khalil, mudir Madrasah al-Masriyah, yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.

(2) Pada 30 Julai hingga 1 Ogos 1982, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan Muktamar Tahunannya Kali Ke-23 di Madrasah al-Masriyah. Dua kepentingan muktamar ini. Pertama, ia adalah simbol pertembungan antara Dewan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali, ayah kepada Ibnu Mustafa dengan Datuk Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS.

Kedua, ia mencetuskan kepemimpinan ulamak PAS. Di dalam muktamar ini telah diusulkan supaya PAS mengamalkan konsep kepemimpinan ulamak. Akibatnya, pada 22 Oktober 1982, Datuk Mohd Asri meletak jawatan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28, dan bermulalah era kepemimpinan ulamak.

(3) Ustaz Ahmad Hassan Salahuddin diangkat sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 1983. Antara sumbangan besar beliau ialah membangunkan projek ekonomi, Darul Mal. Walaupun ia tidak berjaya sepenuhnya, projek ini merupakan satu anjakan pemikiran dan pembaharuan besar dalam memperkenalkan konsep ekonomi Islam kepada gerakan Islam.

Semoga semua yang berjasa dan berusaha untuk Islam, diterima amal mereka oleh Allah.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 30/5/2020