Mursyidul Am wakaf tanah bina kompleks pendidikan

KANGAR: Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin mewakaf tanah milik keluarganya sebanyak lima relong bagi membina Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil.

Tanah tersebut terletak di Kampung Kubang Siput, Jalan Kodiang, Pauh Arau bakal menempatkan Sekolah Rendah Islam, maahad tahfiz dan pondok moden.

Advertisement

Pengerusi Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil, Ruselie Eizan berkata, penubuhan kompleks itu hasil cetusan idea Ustaz Hashim bagi memperbanyakkan sekolah agama di Perlis.

“Nama Ibnu Aqil diambil sempena nama datuk kepada Tuan Guru sendiri iaitu Ustaz Hashim bin Jasin bin Aqil,” katanya di sini.

Menurutnya juga di lokasi itu sekarang sedang dibina musala yang kini siap kira-kira 50 peratus.

Kata beliau sudah hampir setahun pembinaannya dan masih memerlukan kira-kira RM300,000 bagi menyiapkan pembinaan musala tersebut.

Oleh itu beliau merayu sumbangan orang ramai bagi menyiapkan pembinaan musala tersebut bagi diimrahkan orang ramai.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank atas nama Kompleks Pendidikan Islam Ibnu Aqil – 559012322588.

“Untuk fasa kedua bangunan sekolah akan dibina setelah pembangunan fasa pertama pembinaan musala siap,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 1/6/2020