Pemfitnah MB Kedah akan terjerut leher sendiri

kedah

PEMUDA PAS Kedah buat laporan polis terhadap individu yang menamakan dirinya Iswardy Morny kerana memfitnah Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor. Kononnya, Sanusi, sewaktu menjadi Setiausaha Politik kepada Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak (MB Kedah yang ke-10) telah terbabit dengan projek balak di Papua New Guinea.

(Ucapan fitnah Iswardy boleh diikuti dalam video yang diupload di sini) [1]

Kes fitnah ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa. Jika pemfitnah ini terseret ke mahkamah nanti, peluang beliau untuk didapati bersalah adalah secerah bulan purnama. Apapun, biarlah polis dan mahkamah melaksanakan tugasan mereka hingga selesai.

Advertisement

Isu projek balak di Papua New Guinea berlegar sekitar tahun 2009. Kira-kira 10 tahun yang lalu. Ia adalah projek yang dirancang untuk dilaksanakan oleh Kedah Corporation Berhad di bawah CEO baharu ketika itu, Haji Akashah. Akashah terbabit dengan tokoh dalam MAS Incorporated, Datuk Manaf, yang merundingkan agar projek pembalakan di PNG dijalankan di bawah KCB. KCB adalah anak syarikat Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).

Sejumlah RM134 juta (USD44 juta) pinjaman dibuat oleh KCB dengan Capital Investment Agency untuk membiayai mengambil alihan 70 peratus kepentingan dalam Mas Incorporated (PNG) Ltd. yang kononnya berjaya memperolehi kawasan pembalakan di PNG. Ia juga bagi membiayai aktiviti lain KCB.

Pinjaman ini bagaimanapun telah dibatalkan pada Januari 2010 setelah Jawatankuasa penilaian yang dilantik oleh MBI mendapati ia akan menambahkan beban dan risiko kepada syarikat. Pinjaman ini tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah KCB, tidak dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat MBI dan perjanjian perniagaan tidak dibawa untuk penelitian Penasihat Undang-undang Negeri.

Akibatnya Akashah telah ditamatkan perkhidmatan pada 2010. Beliau menyaman MBI kerana penamatan itu. Siapakah pula rakan kerjasama Akashah yang bernama Datuk Manaf itu? Beliaulah yang membawa masuk projek ‘tak ketahuan keluloi’ itu.

Apakah pula peranan Sanusi dalam projek kongkalikong di PNG tersebut? Sanusi adalah Setiausaha Politik MB. Projek dibuat oleh KCB. Maka langsung tiada mengena.

Malah, Sanusi telah mengeluarkan satu kenyataan media mengutuk tindakan Datuk Manaf yang menjerumuskan KCB ke kancah masalah. Sanusi memetik kenyataan seorang tokoh korporat yang menyifatkan Datuk Manaf sebagai ‘tokoh putar alam’. Saya telah memanjangkan peranan tidak wajar Datuk Manaf, dalam sebah artikel di akhbar Harakah.

Akibatnya saya dan Sanusi telah disaman oleh Datuk Manaf sebanyakRM10 juta. Penat juga kami naik turun mahkamah dalam keadaan dhaif kerana ketiadaan wang selepas hilang pekerjaan apabila Kerajaan PR kalah PRU13. Namun, Allah mengtakdirkan pihak yang benar menang di mahkamah – Datuk Manaf gagal dalam tuntutannya terhadap kami.

Sanusi diseret ke mahkamah hanya kerana mengecam… “peniaga yang menjadikan ‘penipuan’ sebagai modal dalam perniagaan mereka, dan ‘kelurusan’ pengurusan KCB telah menjadikan syarikat dan pemegang saham sebagai mangsa.” (Memetik tulisan Sanusi sendiri 10 tahun yang lalu).

Jika tiba-tiba, Menteri Besar itu pula yang didakwa melakukan penyelewengan dalam projek balak di PNG – maka elok benar pemfitnah itu diseret ke mahkamah. Biar dia kenal tinggi rendah muka bumi dan terang gelap alam ini.

ZULKIFLI YAHAYA – HARAKAHDAILY 1/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10222990283687099&id=1279494341