PRK Chini: Harap PH ‘nampak’ dari undi lalu

ALOR SETAR: Cadangan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah supaya Pakatan Harapan tidak menghantar wakil bertanding pada PRK N.23 Chini adalah pandangan ikhlas dalam konteks semasa dan situasi pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, hal tersebut terserah kepada pihak berkenaan kerana ianya menjadi hak parti politik dalam negara demokrasi untuk tetap mengadakan pencalonan dan bertanding pada PRK tersebut yang akan bermula prosesnya minggu depan.

“Memang kita akui bahawa waktu PKPB ini, pilihan raya yang dibuat pun terpaksa dikawal kempen dan sebagainya. Kalau tidak ada pertandingan, saya fikir itu lebih baik. Tapi dalam sistem demokrasi terbuka, kita tidak boleh menghalang mana-mana parti untuk menghantar calon. 

“Cuma situasinya kita tahu, kalau pun pilihan raya dibuat, dan bagaimana kempen nak berjalan, macam mana proses pengundian terpaksa dijaga SOP PKPB ini,” ujar beliau menjawab soalan media selepas sesi libat urus antara Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Beliau turut mengakui pandangan wartawan bahawa keputusan pilihan raya lalu secara atas kertas memberi kelebihan angka kepada undi bersama diperolehi pihak PAS dan Umno berbanding PH yang hilang deposit ketika bertanding di kerusi tersebut.

“Memang kalau kami tengok nampaklah (angka undi). Tapi saya rasa dia (PH) tengok ‘takut tak nampak’. Orang politik ini matanya lain-lain,” ujarnya cuba mengajak pihak berkenaan untuk lebih kritikal menaakul kedudukan tersebut.

Advertisement

Diminta menjawab berkenaan situasi dalaman BERSATU ketika ini beliau menjelaskan ianya tidak menjejaskan hubungan parti itu bersama PAS dan Umno serta gabungan Perikatan Nasional di mana dalam Majlis Presiden yang diwujudkan meletakkan urusan pentadbiran kerajaan sebagai keutamaan.

“Utamakan kepentingan rakyat dalam situasi COVID ini daripada duduk kecamuk dalam soal politik. Dan saya alu-alukan Titah Tuanku Agong sewaktu merasmikan Parlimen baru-baru ini.

“Supaya jangan kita cetuskan gelombang politik yang dalam situasi rakyat menderita, negara tengah berhadapan masalah ini, dapat kita fokus kepada bagaimana menyelesai masalah semasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/6/2020