Projek ECRL di Kelantan mula Nov 2020

KOTA BHARU: Projek Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) di Kelantan dijangka bermula pada November hadapan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pembinaan itu akan dijalankan selepas selesai proses pengambilan tanah.

Katanya, kerajaan sebelum ini bersetuju perubahan jajaran (alignment) melibatkan stesen di Kota Bharu dan Pasir Puteh sepanjang 44 kilometer.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat wakil China Communication Construction (CCC) diketuai Executive Project Manager projek ECRL Guo Chang Rui di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Pada kunjungan itu Chang Rui menyampaikan pembentangan mengenai status projek ECRL di Kelantan.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Sr. Azami Mohd Nor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan memberi kelulusan bagi Skim Keretapi untuk Seksyen A projek ECRL.

Langkah itu memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer dari Kota Bharu ke Dungun.- HARAKAHDAILY 1/6/2020