Pusat kerjasama Kedah atasi masalah bekalan air

ALOR SETAR: Rakyat dan pembangunan negeri bakal menerima manfaat yang lebih mensejahterakan apabila Kerajaan Persekutuan telah menyelesaikan beberapa isu migrasi tertangguh dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan perkara tersebut dalam sidang media selepas sesi libat urus antara kementeriannya dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Antara perkara tersebut bentangnya adalah berkenaan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air yang akan diselaraskan serta ditingkatkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Secara keseluruhannya untuk negeri Kedah ini, kita menyediakan lebih kurang 24 projek alam sekitar dan air yang menelan belanja keseluruhan RM4.44 bilion untuk negeri Kedah.

“Dan kita jangka ada yang kita bawa daripada RMK-11 yang kita masih dalam proses untuk menyiapkan. Dan kita jangka dalam RMK-12 ini ada beberapa projek-projek baru yang kita harapkan isu air, isu pembetungan, isu pencemaran, dapat kita diatasi,” ujarnya.

Bersama pada sesi tersebut adalah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air Tenaga, Pengairan dan Saliran Negeri, Dato’ Suraya Yaacob.

Advertisement

Kedua pihak juga maklum Dato’ Tuan Ibrahim, turut melihat kesiapsiagaan Kedah dalam persiapan menghadapi kemarau yang dijangka berlaku Julai nanti, selain jerebu serta masalah bekalan air di Langkawi.

Beliau juga memberitahu, sesi kedua pihak telah membincangkan usaha untuk menaik taraf insfrastruktur perkhidmatan bekalan air di negeri ini, termasuk bagi mengatasi isu Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW).

Menjawab soalan media mengenai isu balak yang panas minggu lalu, Menteri itu menegaskan kedua pihak berpegang dengan prinsip meletakkan pemeliharaan alam sekitar diberi keutamaan.

Namun katanya, mekanisma untuk menguruskan perkara berkaitan itu terserah kepada kebijaksanaan kerajaan negeri dan meyakini telah mempunyai kaedah terbaik mengatasi isu sambungan dari kerajaan lama.

Tuan Ibrahim turut memperincikan antara butiran peruntukan tersebut iaitu bagi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau sebanyak RM147.78 juta, LRA Sungai Limau (RM108.41) dan LRA Jeniang Baru (RM161.98 juta).

Juga LRA Lubuk Buntar Lama (RM57.42 juta) dan LRA Pelubang (RM455.98 juta), manakala 3 kilometer saluran air dari tanah besar ke Langkawi akan dibaikpulih bagi mengatasi masalah besar bekalan air dihadapi pulau tersebut.

Malah kedua pihak maklumnya bersetuju membesarkan lagi kawasan takungan air di Langkawi, selain rancangan menyediakan bekalan yang mampu memenuhi keperluan sehingga tahun 2040 bagi pulau pelancongan tersebut.

Keseluruhan kos diperuntukkan untuk Langkawi itu katanya, berjumlah sekitar RM600 juta dengan semua projek di pulau dan tanah besar Kedah itu telah ditender di mana projek dijangka siap pada tahun 2022, sekali gus mengatasi masalah bekalan air.

Turut diumumkan beliau adalah peruntukan RM136 juta untuk projek tebatan banjir yang juga telah dibuat tinjauan pelaksanaan projek tersebut dalam lawatannya di Anak Bukit petang semalam. – HARAKAHDAILY 1/6/2020