Bakal pengantin di Perak memadai temuduga

IPOH:  Bakal pengantin di negeri ini tidak perlu hadir Kursus Pra-Perkahwinan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebaliknya hanya perlu hadir temuduga sebelum dinikahkan di Pejabat Agama Daerah masing-masing.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kelonggaran itu berikutan kursus terbabit tidak dapat diadakan sepanjang PKP.

“Ini adalah kelonggaran yang kita berikan kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga dan belum menghadiri kursus Pra Perkahwinan” jelasnya memaklumkan ketetapan itu bermula esok, 3 Jun.

Tambahnya lagi, JAIPk akan mengambil beberapa pendekatan lain termasuk Ujian Kefahaman atas talian selepas tamat tempoh PKP dan kursus Pra-Perkahwinan secara bersepadu selepas PKP akan dipertimbangkan.

Terdahulu, aktiviti melibatkan perkumpulan orang ramai tidak dibenarkan sejak Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk Kursus Pra-Perkahwinan Bersepadu. – HARAKAHDAILY 2/5/2020