Dr SAM prihatin nasib Azlan

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, juga prihatin dengan nasib penderitaan bekas Jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Baharum.

Justeru, beliau mewakilkan kepada Setiausaha Akhbarnya, Mohd Adram Musa untuk melawat serta menyampaikan sumbangan tersebut.

Advertisement

Mohd Adram berkata, kehadiran beliau menziarahi bekas Jurugambar Utusan Malaysia ini bagi mewakili Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri.

Katanya, kebetulan Menteri Besar itu berada di luar Terengganu atas urusan penting kerajaan negeri dan parti.

“YAB Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri) tiada di Terengganu dan beliau mewakili kepada saya (Adram) untuk menyampaikan salam dan sangat simpati dengan penderitaan Azlan.

“Beliau (Menteri Besar) mendoakan kesembuhan dan ketabahan kepada ahli keluarga Azlan dengan ujian sakit ini,” ujarnya kepada Harakah, selepas berkunjung ke rumah Azlan di Flat Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad dan Pengerusi Kelab Media Baru Terengganu (NEWMED), Abdul Hadi Abd Rani.

Menurut Adram, kerajaan negeri sedia membantu Azlan dan petugas media yang sakit mengikut keperluan semasanya.

Azlan Baharum, 36, disahkan mengidap penyakit gout kronik dan implikasi buah pinggang tahap tiga yang semakin teruk sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Exco Kerajaan Terengganu, Hanafiah Mat dan Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zarani Othman pernah melawatnya.

Harakah dimaklumkan, pasangan Azlan iaitu Norhaspida Yatim, 34, merupakan wartawan Sinar Harian Terengganu tinggal bersama tiga anaknya Muhammad Aqif Rayyan, 7, Awatif Nur Adawiyah, 6, dan Awfiyah Nur Umairah, 4 tahun.- HARAKAHDAILY 2/5/2020