Jabatan Amal: Entiti yang dikagumi dan dikasihi

ANTARA tugasan sewaktu aku sertai PAS tahun 1998 dahulu ialah bersama Unit Amal. Mengawal lalu lintas, kutipan ceramah, mengiringi pimpinan menjadi tugasan dan tarikan pada kami era Pemuda ketika itu.

Dan kini Unit Amal yang bertukar nama kepada Jabatan Amal terus segar harum mewangi di persada negara bahkan menembusi peringkat Antarabangsa. Melalui tarbiyah di dalam perjuangan Islam PAS menggerakkan mereka turun ke medan lapangan.

COVID-19 yang melanda negara dan dunia memberikan kerinduan aku kepada adik-adikku Jabatan Amal. Ya… isu COVID-19 ini tidak boleh berkumpul ramai. Penghantaran bantuan makanan dihadkan kepada 3 orang sahaja. Handphone ku bertalu-talu WhatsApp masuk untuk meletakkan nama depa sebagai petugas.

Advertisement

Ya Allah… beruntungnya kita dalam jamaah PAS mempunyai petugas Jabatan Amal yang sanggup menginfaqkan tenaga, masa hatta wang Ringgit untuk tugasan. Aku menerangkan isu COVID-19 adalah berbeza dengan misi bantuan lain seperti banjir, ribut dan pelbagai lagi.

Banjir besar melanda Pulau Pinang dahulu. Nibong Tebal ditugaskan menyediakan makanan dan loading unloading barangan makanan. Aku menangis kebanggaan melihat petugas melebihi seratus orang setiap hari bertugas di Markaz PAS Pongsu Seribu. Seawal jam 6.30 pagi kami berkumpul di Tol Jawi. Terus ke Markaz PAS dan tengah malam baru balik. Selama seminggu berkampung di Pongsu Seribu. Ya Allah… syukur pada-Mu.

Slogan Jabatan Amal ialah ‘Beramal Kerana Allah’ menusuki hati kami. Meresapi ke jiwa Jabatan Amal yang bertugas hanyalah untuk redha Allah. Mengeluarkan lagi duit poket untuk ‘tontong’ membeli keperluan makanan. Juga keperluan barangan lain.

Jabatan Amal juga terdiri dari pelbagai lapisan latar belakang pendidikan dan pekerjaan. Tidak nampak perbezaan tersebut apatah lagi semua sama segak bergaya memakai pakaian Jabatan Amal. Semua sama dan tidak kekok bergaul, bersembang dan makan bersama.

Terkini dalam isu COVID-19 ini, Jabatan Amal menggerakkan dan promosikan Kempen Derma Darah. Alhamdulillah PAS Nibong Tebal melalui Jabatan Amal telah membuat derma darah di Hospital Sungai Bakap. Dan terus menggerakkan lagi kempen derma darah ini. PKP ini derma darah hanya di hospital sahaja.

Hanya Allah S.W.T yang mengganjari atas usaha dan amal anda Jabatan Amal. Terlalu banyak pengkisahan suka duka, pahit manis jika nak diceritakan. Sekadar itu sahaja dahulu yang lahir dari nukilan hati ini.

Suara hati,

NOR ZAMRI LATIFF
Yang DiPertua PAS Kawasan Nibong Tebal – HARAKAHDAILY 2/6/2020