Kedah boleh jadi contoh sejahtera tanpa arak

KUALA LUMPUR: Kemajmukan rakyat Kedah boleh menjadi contoh dalam isu berkaitan peminuman arak atau pengambilan alkohol yang membawa kepada kejadian negatif sama ada melibatkan keharmonian keluarga mahupun ketenteraman awam.

Advertisement

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Alor Setar, Zulkifli Che Haron berkata, kehidupan bersama antara rakyat pelbagai kaum di negeri tersebut membawa kepada saling hormat di mana mereka yang meminum arak memahami sensitiviti berkaitan.

Selain itu ujarnya, tidak berlaku isu-isu besar dari kesan arak di negeri tersebut menunjukkan adanya pemahaman dan kesedaran kesan buruk arak dalam kehidupan yang mesti ditangani secara wajar agar tidak menimpakan akibat kepada orang lain.

Jelas beliau, dalam institusi kekeluargaan masyarakat di Kedah yang meminum arak sudah lama memperkatakan isu betapa kehidupan ‘kaki botol’ dan keadaan mabuk oleh peminum sering membawa masalah kepada kehidupan berumahtangga.

“Oleh itu saya percaya, untuk menguatkuasakan peraturan supaya arak tidak diminum di tempat awam atau secara terbuka, ianya pasti disokong oleh rakyat negeri Kedah. Sebab ia bukan budaya masyarakat negeri ini.

“Apatah lagi jika mabuk dan mengakibatkan berlakunya kejadian negatif seperti pergaduhan ahli keluarga, kekerasan atau kemalangan, tentulah ia lebih-lebih lagi tidak diterima,” ujar beliau.

Oleh itu menurutnya penguatkuasaan atau mengadakan peraturan tambahan berkaitan tidak harus menjadi polemik, sebaliknya usaha itu mampu melakarkan kemajuan dan mengembalikan ketamadunan negeri dan kehidupan rakyat di Kedah khususnya dan Malaysia amnya.

Demikian itu katanya, cadangan banyak pihak supaya menguatkuasakan pengharaman arak di tempat awam selain meminda hukuman lebih berat terhadap kes berkaitan arak mesti disokong secara padu oleh semua pihak.

Kemuka beliau, memandangkan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memiliki kuasa paling minimum dalam peraturan berkaitan arak, maka disyorkan supaya premis yang tamat tempoh kebenaran jualan tidak disambung, selain tidak keluarkan lesen baharu.

“Saya berkeyakinan tinggi Menteri Besar yang baharu mampu untuk mencari mekanisma yang terbaik menjadikan Kedah harmoni tanpa arak.

“Rakyat juga perlu bersama dengan kerajaan termasuk NGO serta parti pembangkang menyokong usaha yang mulia ini, memahamkan masyarakat bahawa arak adalah ibu segala maksiat,” pelawanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2020