Keresahan awam terhadap pemandu mabuk

KISAH pemandu mabuk melanggar orang awam dan menyebabkan kematian benar-benar menimbulkan keresahan awam.

Kuala Krai komited akan menyokong penuh terhadap sebarang langkah dan undang-undang untuk mengenakan hukuman yang keras terhadap pemandu mabuk bila dibentangkan di parlimen nanti. Saya telah tegaskan dalam kenyataan terdahulu. Boleh rujuk pautannya di sini : https://harakahdaily.net/index.php/2020/01/25/arak-satu-keputusan-tegas-perlu-tindakan-segera/

Advertisement

Malah saya telah meletakkan soalan pertama bagi soalan lisan untuk sesi persidangan Parlimen Mac 2020.

Soalan lisan Ahli Parlimen Kuala Krai

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menguatkuasakan hukuman mati dan denda terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian serta pesalah juga hendaklah membayar ‘bayaran khas’ kepada keluarga mangsa.

Dalam masa yang sama, saya menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), pautannya : https://www.facebook.com/112510087040722/posts/140028807622183/?d=n.

Sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang.

Saya juga ingin menyarankan agar ianya tidak hanya melibatkan pelaksanaan undang-undang malah hendaklah lebih menyeluruh. Misalnya dimasukkan sekali elemen keagamaan dan spritiual di dalam silibus untuk mendapatkan lesen memandu. Ini penting bagi memberi kesedaran awal tentang harga nyawa manusia.

Mengambil ikhtibar kerajaan Kelantan iaitu menghadkan premis dan masa untuk membeli dan mendapatkan arak. Saya juga ingin menyarankan kerajaan pusat menghadkan penjualan arak secara terbuka sebagaimana kerajaan Kelantan mulakan semenjak 1990.

Saya juga memohon pihak berkuasa untuk mengadakan sekatan jalan raya yang lebih kerap untuk mengesan pemandu mabuk ini. Perbanyakkan alat menguji alkohol untuk mengesan pemandu mabuk secara terus.

Semoga keresahan awam akibat pemandu mabuk ini akan berakhir secepat mungkin. Saya yakin semua pihak bersetuju undang-undang yang lebih keras untuk menyelesaikan pemandu mabuk yang membunuh ini.

Sama-sama kita doakan agar undang-undang ini berjaya dibentang dan di luluskan pada persidangan bulan Julai nanti.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
10 Syawal 1441/ 2 Jun 2020- HARAKAHDAILY 2/6/2020