Manhaj al-Quran dalam hadapi ejekan musuh

SABAR dan kawal emosi

(1) Dalam kita mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, kita jangan lupa bahawa di sana adanya beberapa elemen yang ramai terlepas pandang. Ada hati, ada alam ghaib ada syurga, neraka dan lain-lain.

Hal-hal seperti ini kita biasa fahami melalui program-program tarbiah. Cumanya apabila sedang berada di atas pentas tinju, habis terlupa semua buah kilas. Jadinya bertinju semberono.

(2) Kita sendiri kadang-kadang hilang sabar, terus hilang akhlak, dan jadi sejahat musuh. Mental juga perlu dijaga. Jangan kerana perasaan, terus menyerang seperti orang gila.

Akibatnya media akan menonjolkan ‘kegilaan’ itu. Apatah lagi kefahaman seseorang, tidak dapat ditonjolkan melalui gambar. Justeru dalam hal ini, kesabaran itu lebih utama.

Advertisement

(3) Kadangkala yang membuatkan kita kalah bukanlah angka atau kejahilan, akan tetapi sebab hilang sabar. Apabila hilang sabar, lenyaplah segala kefahaman yang menjadi bekalan tarbiah.

Tidak sabar dengan tindakan musuh menyebarkan mengejek, sendiri pula mengejek musuh. Sebab itulah PAS konsisten menyeru ke arah BPMS. Bukan hanya berteori, tapi perlu dilaksanakan.

(4) Musuh sentiasa menjadikan sentimen sebagai modal untuk menjadikan ahli gerakan Islam itu semberono dan melakukan tindakan luar kawalan. Tindakan semberono inilah yang merugikan.

Kadangkala tindakan luar kawalan inilah yang menjadi modal jajaan mereka untuk menggambarkan persepsi yang negatif terhadap gerakan Islam. Itulah yang diulang-ulang.

Hidayah Allah S.W.T

(1) Antara perkara-perkara ‘ghaib’ yang mungkin kita terlupa ialah hubungan dengan Allah S.W.T. Saban hari kita mengadap facebook dan whatsapp mengadap provokasi musuh berjelar-jelar.

Ya, kita sendiri tak mampu nak hadapi. Mereka lontarkan provokasi dan ejekan dalam media cap ayam mereka. Apa yang kita mampu buat ialah sabar dan buat laporan polis. Bagus alhamdulillah.

(2) Cumanya kadang-kadang kita terlupa bahawa kebencian di hati mereka itu berada di bawah kuasa Allah S.W.T. Allah S.W.T boleh mengubah hati mereka sekelip mata. Tetapi kita mungkin terlupa.

Di dalam Sirah Nabi S.A.W menceritakan hakikat ini Saidina Umar al-Khattab dalam keadaan benci meluru ke rumah adiknya selepas mengetahui adiknya ‘dipengaruhi’ Nabi Muhammad S.A.W.

Apabila bertemu adiknya dan yang sedang membaca al-Quran, beliau merampas mushaf itu dan terbaca permulaan surah Taha. Terus berubah hatinya dan menemui Rasulullah S.A.W untuk beriman.

(3) Ya, Allah S.W.T menuntut kita untuk berusaha. Tetapi berusaha itu jangan sampai lupa padaNya. Sama juga kita pada hari ini. Dalam usaha kita mengharungi kerencaman dunia politik, jangan lupa kita ada Allah.

Teruskan bersikap matang dalam berpolitik, insya-Allah hidayah itu milikNya. Kematangan kita dalam berpolitik perlu didasari dengan hujah dan kecerdikan, bukanlah membiarkan diri dalam kandangan kebodohan.

(4) Kita perlu sedar bahawa provokasi itulah strategi mereka. Kita sebagai Umat Islam juga perlu berstrategi untuk melaksanakan BPMS. Maka, perlulah kawal perasaan.

Janganlah jadi seperti yang saya katakan di awal tadi. Bila di bawah gelanggang laungkan BPMS. Tetapi bila bertinju di atas gelanggang habis lupa semua strategi dan teknik itu.

Terus menegakkan hujah

(1) Apabila umat Islam dilanda fenomena ejekan, atau penghinaan, maka Allah S.W.T telah memberi panduan di dalam al-Quran;

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ (94) إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ (95) الَّذِينَ يَجْعَلُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ ۚ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ (96)

“Maka sampaikanlah olehmu (Muhammad) secara terang-terangan, segala apa yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah daripada orang orang Musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada kejahatan orang-orang yang mempersendakan kamu, iaitu orang-orang yang menganggap (ada) tuhan-tuhan yang lain di samping Allah S.W.T. Maka mereka kelak akan mengetahui akibat-akibatnya.”

(al-Hijr: 94-96)

(2) Imam Qurtubi menghuraikan ayat 94 menyatakan;

فاصدع بما تؤمر أي بالذي تؤمر به ، أي بلغ رسالة الله جميع الخلق لتقوم الحجة عليهم ، فقد أمرك الله بذلك

“Maka sampaikanlah apa yang disuruh, iaitu menyampaikan apa disuruh untuk menyampaikan, iaitu menyampaikan risalah Allah S.W.T kepada sekalian makhluk untuk menegakkan hujah ke atas mereka. Sesungguhnya Allah S.W.T menyuruh kamu berbuat demikian.”

(3) Di dalam huraian Imam Qurtubi ini menggambarkan kepada kita bahawa Allah S.W.T menyuruh kita meneruskan kerja menegakkan hujah, dan jangan pedulikan ejekan-ejekan musuh yang tidak memberi kesan melainkan izin Allah S.W.T.

Dalam hal ini, kita sepatutnya tidak lari fokus terhadap tugasan kita membina negara. Ini kerana tindakan kita hari ini adalah membina hujah untuk diketengahkan, dan sepatutnya bukan dijadikan medan membina sentimen.

Sempit dada dengan ejekan musuh

(1) Selain daripada kesabaran dan berdoa kepada Allah S.W.T, kita sendiri perlu tingkatkan amalan-amalan kerohanian. Agar hati kita sering terubat dengan fitnah dan provokasi yang menjadi makanan mereka.

Mereka cuma inginkan umat Islam marah dan melakukan tindakan luar kawalan. Jika kita melakukan tindakan luar kawalan itu, mereka akan berseronok. Maka, tahan kemarahan, lakukanlah dengan matang.

(2) Biasanya semakin hebat provokasi dan ejekan yang dilemparkan, bermakna mereka itu semakin marah. Biarkan mereka marah. Jangan pula kita gembirakan mereka dengan kemarahan kita.

Ya, hati kita apabila melihat provokasi dan ejekan mereka kadang-kadang merasa sempit dada. Maka Allah S.W.T menyediakan jalannya;

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (97) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ (98) وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ (99)

“Dan Kami sungguh sungguh Mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan (97) Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (98) Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal) (99).”

(4) Ayat ini menggambarkan bagaimana dakwah Nabi S.A.W dipersenda oleh Quraisy Makkah, dihina sehinggalah Nabi S.A.W merasa sempit dada terhadap apa yang mereka sendakan.

Penghinaan ini dilemparkan kepada Baginda S.A.W sejurus berterus-terang mengenai dakwahnya di Bukit Safa. Berterus terang dengan dakwah inilah yang menjadi pencetus kebencian Quraisy Makkah terhadapnya.

Tenangkan hati

(1) Sayyid Qutb menyatakan di dalam Fi Zhilal Quran mengenai situasi sindiran terhadap Baginda S.A.W itu bahawa;

“Baginda S.A.W tidak dapat menghindarkan dirinya dari perasaan yang menyempitkan dadanya apabila mendengar adanya suasana syirik terhadap Allah S.W.T, mendengar sendaan kepada dakwah menegakkan kebenaran, dakwah dan kebenaran diperangi dengan kerasnya, dibendung dan disempitkan jalannya oleh kesesatan dan syirik.”

“Oleh itu Allah S.W.T memerintahkan Nabi-Nya Muhammad S.A.W supaya bertasbih dan memuji Tuhannya, dan beribadat kepadaNya, mendampingkan diri dan berlindung di sisi Allah S.W.T dengan bertasbih, bertahmid dan beribadat ketika menghadapi sesuatu yang tidak baik dari penentang Islam.”

(2) Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menjelaskan di dalam bukunya Fiqh Harakah bahawa;

“Perlu difahami oleh pendukung-pendukung perjuangan Islam, bahawa berterus terang dengan hakikat aqidah ini dengan dasar-dasarnya, dan menegakkan segala tuntutannya adalah penting.”

“Lantaran sikap berterus terang seperti itu menggoncangkan hati yang lalai, menggerakkan kebekuan perasaan, menilai kebenaran dan kebatilan.”

“Adapun sikap menyembunyikan kebenaran atau bersikap hanyut bersama arus yang datang sehingga sebahagian daripada kebenaran itu disembunyikan hanyalah menggalakkan golongan taghut dan menutup kesedaran berfikir di kalangan umat manusia. Malah sikap begitu bukanlah cara yang betul di dalam Harakah Islamiyyah.”

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/6/2020