PKP: Kebajikan Muslimat prihatin penduduk terjejas

TELUK INTAN: Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Ziarah Prihatin dalam menyampaikan sumbangan terutama kepada penduduk yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Terbaharu, program ini telah diadakan bersama Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Hamisah Abas dengan mengadakan lawatan dan penyerahan bantuan di Pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR), Jalan Laksamana, di sini baru-baru ini.

Menurut Hamisah yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, tujuan ziarah itu juga bagi meninjau dan menyelami kesusahan masyarakat setempat dan kesan dialami atas kehidupan mereka sejak PKP dikuatkuasakan.

Beliau turut melahirkan simpati terhadap kalangan penduduk yang terjejas rutin mereka dari keadaan ketika ini di mana maklumat tersebut amat berguna bagi pihak berkenaan untuk membantu mengatasinya.

Oleh itu beliau berharap masyarakat turut sama menyuarakan dan memaklumkan hal berkaitan kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan susulan sewajarnya kerana setiap penduduk adalah anggota masyarakat.

Antara penerima sumbangan itu, Zaharah Abdullah yang bekerja sebagai pembantu kantin dan ibu tunggal kepada tiga anak mengakui terkesan dengan PKP di mana terjejas pendapatan akibat tidak dapat beroperasi.

Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Teluk Intan, Robainah Ismail berkata, inisitif dilaksana pihaknya akan diperluaskan lagi dalam membantu golongan memerlukan tanpa mengira latarbelakang politik. – HARAKAHDAILY 2/5/2020