‘Tentera penyair’ dan dakwah Nabi ikut realiti

nabi

PERJANJIAN Hudaibiyah dan keutamaan semasa

(1) Pada Tahun 6 Hijrah, berlakunya Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian tersebut memaksa umat Islam untuk menangguhkan umrah pada tahun itu, dan hanya sekadar bertahallul.

Advertisement

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan di dalam Fiqh al-Harakah;

“Keputusan bertahallul dan membatalkan umrah kerana mengambil kira strategi politik, yang memberi pengiktirafan kepada negara Islam oleh pihak musuh, wajib didahulukan daripada ibadah umrah.”

“Keputusan yang bijaksana dan berpandangan jauh ini tidak difahami oleh kebanyakan para Sahabat R.A pada peringkat awal, namun pada akhirnya disedari oleh mereka betapa perlunya Perjanjian Hudaibiyah sehingga ditangguhkan umrah, walaupun telah memakai ihram dan terpaksa bertahallul dengan menyembelih binatang ternakan dan bercukur atau bergunting rambut kepala.”

“Tidak faham bahawa menegakkan negara Islam sangat penting dalam ajaran Islam ini, sehingga merelakan umat Islam dijajah oleh pelbagai teori, ideologi, undang-undang dan peraturan yang asing daripada hukum Allah yang telah dinaskan di dalam kitab Allah dan Sunnah RasulNya.”

(2) Pada tahun berikutnya, Nabi S.A.W mengerjakan umrah qadha, iaitu pada tahun 7 Hijrah. Jumlah mereka dianggarkan 2,000 orang selain wanita dan kanak-kanak.

Perjalanan umrah ini bersama 60 ekor unta, berihram di Zil Hulaifah, dan seterusnya memasuki Makkah dalam keadaan pedang yang tersarung, yang dianggap senjata orang yang bermusafir.

Bersyair ketika umrah qadha’

(1) Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A masuk ke Makkah dan bertalbiah sehinggalah beristilam di Hajar Aswad. Nabi S.A.W bertawaf diikuti oleh para Sahabat R.A. Ketika ini Abdullah bin Rawahah melonggarkan syairnya;

خَلّوا بَني الكُفّارِ عَن سَبيلِهِ
خَلّوا فَكُلُّ الخَيرِ في رَسولِهِ
قَد أَنزَلَ الرَحمَنُ في تَنزيلِهِ
في صُحُفٍ تُتلى عَلى رَسولِهِ
يا رَبُّ إِنّي مُؤمِنٌ بِقيلِهِ
إني رأيت الحق في قَبولِهِ
بِأَنَّ خَيرَ القَتلِ في سَبيلِهِ
اليوم نضربكم عَلى تَنزيلِهِ
ضَرباً يُزيلُ الهامَ عَن مَقيلِهِ
وَيُذهِلُ الخَليلَ عَن خَليلِهِ

“Biarkan golongan kufur itu dengan jalan perjuangannya. Biarkan mereka, maka sebenarnya segala kebaikan itu dari RasulNya. Tuhan Maha Pemurah menurunkan di dalam kitabNya. Wahai Tuhanku sesungguhnya saya beriman kepada sabdanya. Sesungguhnya saya melihat kebenaran itu dengan menerimanya. Sesungguhnya sebaik kematian itu syahid di jalanNya. Hari ini kami menentang kamu bersama wahyuNya. Pukulan yang menghilangkan kesombongan dari yang menyatakannya. Dan menghilangkan kerinduan kekasih terhadap kekasihnya.”

Tiba tiba Saidina Umar al-Khattab R.A mencelah;

“Kamu bersyair di hadapan Rasulullah S.A.W di tanah suci ini?”

Rasulullah S.A.W bersabda;

خَلِّ عَنْهُ ، فَلَهُوَ أَسْرَعُ فِيهِمْ مِنْ نَضْحِ النَّبْلِ

“Biarkan wahai Umar! Sesungguhnya ia mengenai musuh lebih cepat daripada panah.”

Syair Abdullah Ibn Rawahah yang saya nukilkan ini ada sedikit perbezaan matan mengikut perawi. Walau bagaimanapun ia menggambarkan suasana ketika itu.

Dunia penyair

(1) Apa yang harus kita fikirkan ialah hikmah di sebalik sabdaan Nabi S.A.W;

خَلِّ عَنْهُ ، فَلَهُوَ أَسْرَعُ فِيهِمْ مِنْ نَضْحِ النَّبْلِ

“Biarkan wahai Umar! Sesungguhnya ia mengenai musuh lebih cepat daripada panah.”

(Sunan Sughra Imam Nasaie)

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan;

“Menunjukkan bahawa hasil sastera seperti syair dan sajak yang mempertahankan Islam menentang musuhnya termasuk di dalam pengertian jihad.”

(2) Rata-rata ulamak yang mensyarahkan Hadis ini mengaitkan bahawa syair itu lebih berbekas kepada hati-hati orang Makkah yang sememangnya bergelumang dalam dunia kesusasteraan Bahasa Arab.

Bahkan di penghujung Surah asy-Syu’araa’ ada menyebut mengenai penyair;

وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ (224) أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ (225) وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ (226) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَذَكَرُوا اللَّهَ كَثِيرًا وَانتَصَرُوا مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُوا ۗ وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ (227)

“Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala (94) Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? (95) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? (96) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (97)”

Di sini kita dapat fahami bahawa penyair itu ada dua jenis, iaitu penyair yang jahat, yang hanya sekadar melontar syair, berkhayal, beromong kosong dan mengatakan sesuatu yang tidak dilakukannya. Satu lagi ialah penyair yang baik.

Syair sebagai senjata

(1) Imam Alusi di dalam Tafsir Ruhul Ma’ani menghuraikan penghujung surah asy Syu’araa’ ini dengan menukilkan Hadis Nabi S.A.W:

إن من الشعر لحكمة

“Sesungguhnya daripada syair itu ada hikmah.”

Dan sabdanya kepada Saidina Hassan bin Thabit;

أهجهم – يعني المشركين – فإن روح القدس سيعينك

“Wahai Hassan! Jawablah (serangan mereka) sesungguhnya Ruhul Quds akan membantu kamu.”

Di dalam riwayat lain:

اهجهم وجبريل معك

“Jawablah, Jibril akan bersama kamu.”

(2) Imam Alusi menukilkan lagi ketikamana Rasulullah S.A.W ditanyakan oleh Ka’ab bin Malik, Baginda S.A.W bersabda;

إن المؤمن يجاهد بسيفه ولسانه والذي نفسي بيده لكأن ما ترمونهم به نضح النبل

“Sesungguhnya orang beriman itu berperang dengan pedang dan lidahnya. Demi jiwaku di tangannya, seolah-olah syair yang kamu lontarkan itu seperti tikaman anak panah.”

(3) Nabi S.A.W mengungkapkan bahawa penyair-penyair itu berperanan dalam segmen jihad dengan lidah, dan syair-syair itu digambarkan sebagai panahan anak panah yang memberi kesan.

Di sini kita perlu faham bagaimana peranan syair dalam dunia jihad. Mengkepak musuh dengan kesusasteraan, yang sesuai dengan masyarakat Arab yang bergelumang dalam dunia ini.

Dakwah mengikut realiti

(1) Hari ini kita boleh praktikkan bagaimana fungsi jihad dengan lidah itu. Tidaklah sama dengan syair Arab, ataupun dunia kesusasteraan. Cumanya lebih kepada bersifat realiti.

Realiti masyarakat Makkah yang meletakkan golongan penyair sebagai golongan yang disanjungi. Maka, al-Quran turun dengan nilai kesusasteraan yang tinggi sehingga mengkagumkan mereka.

(2) Sebab itulah kita perlu faham bahawa dakwah itu perlu bersifat realiti dan berpijak di atas tanah. Itu lebih memberi kesan berbanding berceramah atas awangan, jauh daripada realiti.

Hal ini dihuraikan panjang oleh Imam Sa’id Hawwa di dalam كي لا نمضي بعيدا عن احتياجات العصر apabila mendapati permasalahan di kalangan gerakan Islam ketika itu, yang semakin jauh dengan keperluan semasa.

Kalau dahulu ada pentas penyair untuk berlawanan sastera, hari ini mungkin wacana atau media adalah medannya. Iaitu medan untuk menegakkan hujah, bukannya medan memaki.

(3) Mungkin kita boleh lihat sebagai muhasabah, kadangkala gerakan Islam ini didominasi oleh orang-orang kampung, menyebabkan pembawaannya agak kekampungan (konservatif).

(4) Medan dialog, ceramah, kuliah, wacana, media sosial dan sebagainya perlu dijadikan medan berhujah mengikut realiti keperluan semasa. Ia perlu dijadikan medan berhujah, bukan medan berkempen.

Yang ‘dipertandingkan’ atau dipersembahkan pada hari ini bukan lagi syair-syair. Akan tetapi wacana terbuka yang sarat dengan hujah yang ‘menikam’ umpama panahan-panahan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/6/2020