Garis panduan buka sekolah akan diedar esok

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dato' Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke SMK Engku Husain, Semenyih, Selangor bagi tujuan persediaan pembukaan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) petang semalam. Sumber foto: FB Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan bakal beroperasi semula selepas Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah diedarkan bermula esok (Khamis).

Memetik laporan Bernama, Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pihak KPM belum menetapkan tarikh pembukaan namun menjelaskan garis panduan terbabit sebagai persediaan awal pihak sekolah sebelum memulakan operasi persekolahan.

Jelasnya, pembukaan semula sekolah hanya akan melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam sahaja dengan hampir 3,000 sekolah menengah.

Advertisement

Ujarnya, garis panduan berkenaan dihasilkan secara terperinci dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, katanya ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan berharap ibu bapa memainkan peranan mendisiplinkan anak mereka supaya membiasakan diri dengan penjarakkan sosial.

“Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan, maka setiap sekolah telah bersedia.

“Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah iaitu ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu akan kita lakukan.

“Apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa. Misalnya, jika anak bergejala, tidak perlu hantar ke sekolah,” katanya seperti dipetik dari Bernama.

Tambahnya, pematuhan Garis Panduan tersebut akan dipantau oleh jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.

“Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah diadakan dan kita yakin pihak pengurusan sekolah dan juga guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini akan dipatuhi.

“Apabila Kementerian Kesihatan dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka, maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka. Kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah,” katanya ketika ditanya tarikh pembukaan sesi persekolahan HARAKAHDAILY 3/6/2020