Pelajaran dari seberang

SAYA dipindahkan ke ibu pejabat syarikat saya di Jakarta pada 16 April 2016. Saya berkesempatan melihat siri-siri kempen dan mengamati pemilihan Gabenor Jakarta yang berlangsung pada 15 Februari 2017.

Walaupun terdapat tiga pasang calon iaitu Anes Baswedan bersama Sandiaga Uno; Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) dan pasanganya Djarot Saiful Hidayat; dan Agus Harimurti Yudhoyono bersama Sylviana Murni tetapi persaingan antara pasangan Anies dan pasangan Ahok sangat sengit dan menjadi perhatian media dalam dan luar negara.

Di samping isu ayat 51 surah Al Maidah yang menjadi ‘bombardment’ kepada Ahok dan ‘tim kampanye’ mereka, sebenarnya ada isu lain yang menjadi perhatian terutama kepada kem Anies Baswedan yang melonjakkan undi dan sokongan terhadap beliau dan pasangannya.

Semasa debat politik antara Ahok dan Anies yang disiarkan secara langsung di TV One Indonesia dan beberapa rangkaian lainya. Moderator bertanyakan kepada Anies apakah perkara pertama yang akan dilakukan oleh beliau sekiranya terpilih menjadi Gabenor DKI Jakarta?

Advertisement

Dengan lirikan senyuman beliau menjawab “Saya akan tutup Alexis”. Ditanya lagi oleh moderator untuk mendapatkan kepastian. Beliau menjawab dengan tegas “Iya saya akan tutup Alexis!”

Jawapan tegas Anies memancing emosi Ahok dan melenting. Hampir sama emosinya Ronnie Liu bila Menteri Wilayah, Annuar Musa membuat kenyataan bahawa DBKL akan membekukan pemberian lesen dan pembaharuan permit menjual arak.

Alexis ini adalah sebuah hotel terletak di Daerah Ancol. Ianya bukan hotel biasa tetapi pengunjungnya boleh menghabiskan Rp30 juta semalam (RM10,000). Inilah ‘pusat dunia malam’ yang sangat eksklusif buat VVIP di kota Jakarta.

Saya masih ingat bila Ahok bertanyakan kepada Anies dengan nada yang agak tinggi, “kalau ditutup Alexis habislah pendapatan Kota Jakarta.”

Dengan senyum Anies menjawab “Banyak lagi sumber rezeki yang halal yang bisa mengangkat Kota Jakarta.”

Dan ini benar-benar dilakukan pada bulan Mac 2018. Ini diakui sebagai langkah berani kerana bukan mudah untuk menutup sebuah pusat hiburan malam berprestij yang pastinya dilindungi oleh ‘Oknum’ tertentu.

Sejak dari itu banyak pusat-pusat dunia malam yang menjadi sarang dadah, alkohol dan pelacuran ditutup Anies di Kota Jakarta. Berita ini boleh kita ‘Google’ dari laporan berita di media-media di dalam internet.

Apa yang menariknya sikap yang sama ditunjukkan oleh beberapa pemimpin DAP terhadap kenyataan Tan Sri Annuar Musa tentang pembekuan lesen dan pembaharuan permit menjual arak.

Mengapa harus melenting? Bukankah menjaga nyawa itu adalah lebih penting dari meraih keuntungan penjualan alkohol? Sepatutnya mereka menyokong tindakan Menteri Wilayah ini demi menjaga kemaslahatan rakyat.

Lihat sahaja seminggu dua ini ada anak-anak yang menjadi yatim piatu, isteri kehilangan suami, kehilangan ketua keluarga dan sebagainya gara-gara pemandu mabuk.

Menteri Wilayah harus mengambil contoh tegas dari Gabenor Jakarta ‘Bapak’ Anies Baswedan dalam menangani keruntuhan akhlak dari pengaruh pusat dunia malam yang berhujung kebaikan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan keturunan.

Islam tidak pernah melarang penganut agama lain mengambil alkohol sekiranya dibenarkan oleh agama mereka. Tetapi yang penting adalah bagaimana ianya dikawal supaya tidak disalah gunakan dan akhirnya mengakibatkan kepada kehilangan nyawa dan kecederaan terhadap orang lain.

Oleh itu kerajaan hari ini perlulah menjadikan Kelantan sebagai contoh dalam mengawal dan menangani masalah alkohol yang diterapkan sejak Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar lagi.

Sepatutnya ahli-ahli politik yang kononya memperjuangkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat haruslah bersama-sama menyumbang untuk mengurangkan risiko kematian dan kecederaan akibat alkohol dan bukannya menghentam dan melenting sehingga menciptakan naratif negatif di kalangan rakyat awam.

BAKRI JAMALUDIN
Ketua Penerangan PAS
Negeri Melaka- HARAKAHDAILY 3/6/2020