Sultan Johor kecewa kemelut politik berterusan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sumber Foto: FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

KUALA LUMPUR: Sultan Johor memberi amaran kepada wakil rakyat Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor jika masih berlaku perebutan kuasa.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, baginda kecewa dengan kemelut politk yang masih berlaku di negerinya ekoran ada pemimpin masih merebutkan kuasa dan jawatan demi kepentingan masing-masing.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

Advertisement

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda hari ini.

Dalam perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 14 Mei lalu, baginda mengingatkan wakil rakyat Johor agar tidak menyebarkan ‘virus perpecahan’ dengan perseteruan politik.

Perbalahan ini titahnya jika tidak dibendung akan mengganggu gugat kestabilan pemerintahan dan menjejaskan keharmonian kalangan rakyat.

Beberapa hari lepas Ahli Parlimen PH dari parti PAN, Dato’ Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran bahawa Pakatan Harapan (PH) sedang dalam usaha ke arah melakukan perubahan kepada Johor.

Ujar Saluddin cukup optimis untuk memulakan gegaran politik bermula di Johor.

“Segala-galanya bagi saya boleh berlaku di Johor, dan kami sekarang dalam usaha ke arah itu, jadi tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku di Johor,” ujarya dalam satu temubual yang disiarkan dalam akaun Youtube Media Rakyat baru-baru ini.

Parti pemerintahan di Johor pada awalnya ditadbir oleh PH telah beralih kepada Perikatan Nasional pada Februari lalu.

Peralihan ini selepas didorong situasi semasa perubahan kerajaan pusat dalam konflik politik ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah diperkenan oleh Sultan Ibrahim yang berpuas hati dengan cadangan penubuhan parti pemerintahan baharu gabungan Bersatu, PAS, Umno dan MIC.- HARAKAHDAILY 3/6/2020