Syarikat salah guna tanda cap dagangan milik UMK

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menghentikan perjanjian perlesenan bersama sebuah syarikat kerana wujud penyalahgunaan tanda cap dagangan milik UMK bagi produk pengiklanan.

UMK juga menafikan sebarang tuntutan oleh syarikat terbabit terhadap produk Nano Magnetic Biocarbon Absorbent Composite, MyAktiFil dan AcBio Biochar Organic Planting Mix di pasaran.

Advertisement

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr Arham Abdullah berkata, UMK telah membuat pendaftaran semua produk itu di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Kita telah memeterai perjanjian perlesenan dengan Green Impiana Brothers Solution (GIBS) bertarikh 19 Mac 2019 bagi pengkomersilan produk tersebut dan perjanjian ini ditamatkan pada 10 Mac lalu.

“Justeru itu syarikat terbabit tidak dibenarkan menjual, mengedar, menawarkan untuk menjual, memajak dan mengimport mana-mana produk kita mengikut tarikh penamatan,” katanya pada sidang media di Galeri Pembangunan UMK Kampus Kota di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMK, Prof. Ir. Ts. Dr Ahmad Ziad Sulaiman; Pengarah Bahagian Komersilan dan Harta Intelek UMK, Prof Madya Ir Dr Julie Juliewatty Mohamed dan Penasihat Undang-undang UMK, Nurhayati Ismail.

Dr Arham berkata, daripada tarikh penamatan perjanjian itu sehingga hari ini, UMK tidak pernah memberi kebenaran mahupun kelulusan kepada syarikat terbabit untuk mengedarkan atau menjual produk tersebut.- HARAKAHDAILY 3/6/2020