11 jurnal UMK diiktiraf penerbitan impak tinggi

BACHOK: Sebanyak 11 jurnal terbitan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima pengiktirafan sebagai penerbitan ilmiah berimpak tinggi.

Pengiktirafan itu disenarai dalam pangkalan data antarabangsa Web of Science (WoS) yang diindeks pada April 2020.

Advertisement

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMK Dr Mohd Asrul Hery Ibrahim berkata, pengiktirafan itu inisiatif yang diambil Bahagian Penerbitan dan Penarafan (PRD) bagi membantu ahli akademik dan penyelidik menghasilkan penyelidikan dan penerbitan jurnal ilmiah berkualiti di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Katanya, PRD memaparkan poster penerbitan artikel dalam jurnal oleh staf akademik UMK melalui platform pengkalan data antarabangsa di WOS setiap bulan.

“Sejak Januari lepas sehingga sekarang PRD mengeluarkan sebanyak empat poster.

“Dan baru-baru ini 11 jurnal daripada empat fakulti menerbitkan artikel berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing,” katanya di sini semalam.

Fakulti terbabit iaitu Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT).

Dr Mohd Asrul berkata, daripada 11 artikel jurnal tersebut, Pensyarah Kanan FBKT, Dr Mardawani Mohamad antara ahli akademik UMK yang berjaya menerbitkan artikel dalam Jurnal Process yang berimpak faktor 1.963 dan dikategori dalam Kuartil 2 bidang kejuruteraan kimia.

“Penerbitan itu hasil kerjasama dengan universiti dalam dan luar negara melalui penulisan artikel In-Situ Yeast Fermentation Medium in Fortifying Protein and Lipid Accumulations in the Harvested Larval Biomass of Black Soldier Fly,” katanya.- HARAKAHDAILY 4/6/2020