787 pelajar Kelantan masih berada di Mesir

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menanggung kos penerbangan pulang pelajar dari Mesir yang selesai menjalani kuarantin Covid-19 di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, seramai 887 pelajar sudah kembali ke Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak menanggung kos penerbangan dari Mesir ke Malaysia, cuma akan menanggung perbelanjaan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sahaja.

“Mereka menjalani kuarantin di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain, sebahagian 160 orang menjalani proses itu dan balik ke Kelantan.

“Cuma dari Mesir ke Kuala Lumpur mereka tanggung sendiri tetapi kita akan tanggung perbelanjaan mereka yang balik ke Kelantan,” katanya selepas mesyuarat Exco di JKR 10 semalam.

Menurutnya juga jumlah pelajar Kelantan di Mesir 1,674 orang, di mana negara itu sekarang berhadapan penularan wabak Covid-19 melibatkan lebih 1,000 kes sehari.

Bagaimanapun katanya seramai 787 pelajar Kelantan masih berada di Mesir sehinggga ibu bapa mereka risau atas faktor keselamatan.

“Kita sentiasa berhubung dengan kedutaan Malaysia di Kaherah dan Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan di Timur Tengah.

“Kita akan mendapatkan panduan, nasihat, maklumat dan pandangan mereka sama ada kerajaan perlu bawa pulang atau tidak,” katanya.

Menurutnya juga pelajar yang masih berada di Mesir dalam keadaan terkawal dan kuarantin di rumah.

Selain itu mereka juga diberi bantuan peralatan dan makanan. – HARAKAHDAILY 4/6/2020