Bersatu kekang pemandu mabuk

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menyeru semua pihak supaya bersatu dalam usaha mengekang tragedi pemandu mabuk.

Beliau juga menyatakan sokongan agar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

Advertisement

Akta tersebut meliputi Seksyen 44 (Akta 333), dan juga menyabitkan individu memandu bawah pengaruh alkohol atau apa apa bahan memabukkan mengikut Seksyen 45 akta yang sama, walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.

Katanya, proses ‘narrow down’ ini akan menyempitkan peluang untuk memandu dalam keadaan mabuk.

“Kami juga bersetuju dengan cadangan PAS Sarawak agar nilai ambang BAC pada tahap 0.08 peratus diturunkan bagi mengurangkan risiko pemanduan berbahaya dan membawa maut.

“Dengan menurunkan level BAC ini pihak yang ada sedikit pengaruh alkohol turut sangkut dan tidak dibenar membawa kenderaan.

“Hal ini wajar kerana pihak World Health Organization (WHO) sendiri telah meletakkan piawaian ambang BAC pada tahap 0.05 peratus.

“Malah WHO berpandangan sebenarnya tiada kadar selamat penggunaan alkohol dalam pemanduan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tragedi yang menimpa allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk semasa bertugas dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang pada 3 Mei lalu membuka mata setiap lapisan masyarakat.

“Terkini Perdana Menteri sendiri dalam kenyataan media meminta agar pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk.

“Hal ini selaras dengan semangat diyat dalam hukum syarak Islam walaupun mungkin belum mengikuti lunas syarak Islam.

“Syabas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Menteri Pengangkutan yang kini giat mrlaksanakan cadangan agenda dan draf pindaan di peringkat kementerian masing-masing,” katanya.- HARAKAHDAILY 4/6/2020