MBKT diiktiraf Bandar Paling Bahagia- Dr Samsuri

KUALA TERENGGANU:Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah diiktiraf Bandar Paling Bahagia bagi tahun 2019 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sempena Hari Kebahagiaan Sedunia 2020.

Advertisement

Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, teruja dan berterima kasih kepada pihak yang membuat penarafan itu.

Katanya, pengiktirafan itu bukan hanya untuk Kuala Terengganu tetapi boleh diperluaskan ke peringkat daerah mengikut kategori yang berbeza.

Beliau percaya pengiktirafan itu berkait rapat dengan sosio-budaya masyarakat di negeri ini yang terkenal sebagai ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik’.

“Kita (Terengganu) rasa sangat teruja dan terima kasih kepada pihak yang membuat penarafan itu. Kita percaya bahawa keseluruhan negeri Terengganu, bukan sekadar Kuala Terengganu sahaja.

“Ini boleh masuk dalam daerah atau bandar dari segi emosinya terkawal, tiada hiruk-pikuk dan tiada ‘jem’ (kesesakan) seperti mana bandar-bandar besar yang lain.

“Ini disumbangkan oleh sosio-budaya di negeri Terengganu. Jadi kita berharap, kategori lain juga boleh dikembangkan oleh agensi penarafan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Faedah Perkeso kepada empat penerimanya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Menteri Besar itu, pengiktirafan mengikut kategori lain boleh dikhususnya kepada pekan-pekan yang mempunyai bilangan penduduk lebih kecil.

Katanya, jika ada sistem penilaian dan pengiktirafan seperti itu akan memberi motivasi kepada yang lain untuk lebih baik.

Hadir sama pada Majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.- HARAKAHDAILY 4/6/2020