PAN membisu DAP kritik isu sekat arak

KUALA LUMPUR: Pemimpin PAN diam seribu bahasa seolah menyetujui tindakan DAP yang mengkritik tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan lesen pembaharuan penjualan arak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, kritikan pemimpin DAP, Ronnie Liu terhadap tindakan DBKL memperlihatkan wajah sebenar DAP.

“Apa yang dibuat oleh DBKL menepati kaedah Islam iaitu menutup pintu keburukan itupun sekadar membekukan lesen.

Advertisement

“Tetapi kalau kita lihat ia (DAP) melenting begitu teruk dan saya mengharapkan supaya rakyat dapat menilai sikap dan wajah DAP yang didokong kuat oleh parti PAN yang merupakan anak butir mereka ataupun belaan mereka.

“Kita lihat komen-komen pemimpin PAN pada asalnya (mendesak)supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengharamkan arak tetapi lihatlah hanya disebabkan bekukan lesen sahaja DAP telah melenting dan pemimpin PAN ini diam seribu bahasa inilah sikap mereka,” katanya.

Riduan berkata demikian ketika dihubungi HarakahDaily hari ini bagi mengulas kritikan pemimpin DAP, Ronnie Liu terhadap tindakan DBKL membekukan lesen pembaharuan penjualan arak.

Susulan peningkatan kemalangan maut akibat kecuaian pemandu mabuk, DBKL mengambil langkah membekukan lesen pembaharuan penjualan arak untuk sementara.

Selasa lalu, DBKL dalam satu kenyataannya menjelaskan tindakan itu perlu dilakukan sehingga suatu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Tindakan tersebut juga sebagai menyambut baik cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan kerajaan membekukan penjualan lesen arak.

Sebagai maklum balas, pemimpin DAP, Ronnie Liu memuat naik status di Facebooknya berkata, ‘PN government is good. For nothing. PAS is crazy. Umno is even crazier’.

Ronnie juga mendakwa tindakan pembekuan lesen adalah tidak berpelembagaan dan menyebut DAP akan mengambil tindakan perlu selepas berunding dengan peguam mereka.

Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan maut akibat pemandu mabuk kerap terjadi hingga membangkitkan kemarahan masyarakat.

Lebih meruntun jiwa kemalangan tragis pada pagi Isnin lalu meragut nyawa seorang penghantar makanan Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual oleh isterinya.

Isteri mangsa, Zahlawati Zahlan, 47, menggesa kerajaan segera bertegas dalam isu pemandu mabuk agar tidak ada sesiapa lagi menerima nasib sepertinya yang kini hilang tempat bergantung.

Pada hari yang sama, kemalangan akibat pemandu mabuk turut berlaku di Perlis namun mangsa kemalangan mengalami kecederaan parah keretakan tempurung kepala.

Media turut melaporkan peristiwa pemandu mabuk pernah beberapa kali hampir merempuh sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Pada 3 Mei lalu seorang anggota polis Koperal Safwan Mohammad Ismail, 31, maut akibat dirempuh pemandu mabuk semasa bertugas mengawal sekatan jalan raya PKP berhampiran Plaza Tol Kajang.- HARAKAHDAILY 4/6/2020