‘Scammer’ perdaya mangsa guna gambar Exco

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri menjadi mangsa terbaharu ‘scammer’ yang menggunakan gambarnya untuk meminta sumbangan wang daripada orang ramai.

Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, scammer terbabit menggunakan gambarnya ketika mengangkat sumpah sebagai anggota Exco di mesej Whatsapp yang dihantar.

Katanya, beliau tidak pernah meminta mana-mana pihak memasukkan wang kepada sesiapa sahaja seperti yang tertera dalam mesej whatsapp dihantar tersebut.

Advertisement

Malah beliau juga tidak pernah memiliki nombor telefon seperti yang digunakan scammer terbabit.

“Saya menafikan meminta mana-mana pihak transfer wang kepada orang tertentu seperti ditularkan,” katanya di sini.

Mesej yang dihantar scammer terbabit antara lain berbunyi; ‘tolong transfer RM1,300 ke akaun ini 16003XXXXX – Ustaz Awang Arman. Refer MEJARDTANIZAM’.

Md Anizam juga berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pagi tadi bagi membolehkan pihak polis menyiasat kegiatan penipuan terbabit.

Menurutnya juga seorang penghulu yang memasukkan wang ke akaun berkenaan juga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah terhadap scammer tersebut.- HARAKAHDAILY 4/6/2020