DPPN9 mahu SPRM siasat LGE, bekas AG

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dengan pendedahan kandungan sepucuk surat bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang tular di media sosial.

Advertisement

Laporan itu diketuai Ketua Pemudanya,  Khairul Yazman Yahaya dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar yang hadir ke Pejabat SPRM di Seremban sekitar jam 3 petang tadi.

Mengulas laporan itu, Badzli Bakar berkata, pihaknya mengambil pendekatan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah. 

Justeru katanya, satu siasatan segera haruslah dilakukan ke atas kes itu kerana ia telah tular di media sosial dan menimbulkan persoalan.

“Walaubagaimanapun harapan kami agar kes berprofil tinggi seperti ini disiasat dengan teliti dan ia menjadikan pengajaran kepada pemimpin lain untuk takut melakukan penyalahgunaan kuasa seperti ini,” ujarnya.

Berhubung dengan laporan, kata beliau, SPRM akan memaklumkan tindakan yang bakal diambil atau tiada tindakan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dalam masa 14 hari. – HARAKAHDAILY 5/6/2020