DPPWP terawal buat laporan SPRM ke atas LGE

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) antara yang terawal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung surat antara bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dengan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Advertisement

Menurut Ketuanya, Mohammad Rashidi Abdul Razak laporan tersebut dikemukakan susulan tular pendedahan berhubung surat tersebut bersama tangkap layar sepucuk surat yang tertera nama Lim Guan Eng, Tommy Thomas dan Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng.

“Dakwaaannya adalah, permohonan Lim Guan Eng untuk melepaskan akaun-akaun bank yang dibekukan oleh SPRM yang mana akaun itu dibekukan dibawah Akta 613, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng yang disiasat berhubung transaksi dana 1MDB.

“Apabila tular surat itu, kita terpanggil untuk melakukan laporan terhadap SPRM diatas isu yang berlaku inilah, jadi ada tiga pihak yang terlibat dalam dakwaan ini, Lim Guan Eng, Tommy Thomas dan juga Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah selepas selesai membuat laporan kepada SPRM Kuala Lumpur bersama Naib Ketuanya, Ubaid Akla dan Setiausa Azmer Syazwan Ahmad Suparmin, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut katanya, apa yang mengukuhkan lagi dakwaaan tersebut adalah surat tersebut disahkan oleh timbalan Ketua Operasi SPRM, Ahmad Khusyairi Yahya melalui pautan Malaysia Today.

Justeru itu, beliau mewakili Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap supaya SPRM dapat menggerakkan siasatan keatas ketiga-tiga individu tersebut berhubung dakwaaan yang dilakukan ini.

“Saya percaya Lim Guan Eng mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah menggunakan jawatan, kedudukan dan pegaruh beliau menyebabkan mantan Peguam Negara mengeluarkan arahan keapda SPRM untuk melepaskan semua akaun milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng.

“Saya juga percaya Tommy Thomas mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah menggunakan jawatan, kedudukan dan pengaruh beliau menyebabkan SPRM melepaskan semua akaun milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng walaupun telah diberitahu bahawa Lim Soon Peng gagal memulangkan RM4 juta kepada kerajaan,” ujarnya.

Berdasarkan surat tersebut, Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu menulis surat balas kepada Lim Guan Eng bersetuju untuk melepaskan wang milik Dato’ Lim Soon Peng yang dibekukan SPRM.

Malah, Tommy dalam surat sama turut didakwa mendedahkan maklumat sulit SPRM kepada Guan Eng berhubung siasatan SPRM terhadap isu membabitkan Soon Peng.

Untuk rekod, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menggerakkan seluruh Dewan Pemuda PAS Negeri untuk membuat laporan berhubung kes ini kepada SPRM di setiap negeri.- HARAKAHDAILY 5/6/2020