Kematian akibat puding buih, peringatan buat peniaga

KITA dikejutkan dengan satu kematian akibat keracunan makanan dipercayai selepas menikmati puding buih yang dijual secara atas talian. Kejadian ini telah melibatkan 99 orang mangsa iaitu 77 pesakit dari Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi dari Marang. Kejadian ini menjadi episod duka kerana telah membabitkan seramai 20 buah keluarga ketika menjelang Aidilfitri yang lepas.

Walau bagaimanapun kes ini sedang disiasat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Tindakan sewajarnya akan diambil ke atas peniaga berkenaan.

Advertisement

Justeru hal ini seharusnya menjadi peringatan terutama buat peniaga-eniaga yang menjual makanan supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga kualiti bahan mentah, barangan dan peralatan yang digunakan seterusnya memastikan hasil jualan elok dan tidak rosak sebelum dijual kepada pembeli.

Masyarakat umumnya lebih selesa membeli secara atas talian dalam keadaan semasa yang tidak membolehkan orang ramai berkumpul dan bersesak. Oleh itu, kesedaran mesti diutamakan dalam memilih peniaga dan jenis makanan yang dibeli bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Di samping itu, buat seluruh rakyat Malaysia, luaskan pengetahuan kita untuk sentiasa mengambil tahu langkah-langkah keselamatan dan penjagaan kebersihan kerana kita juga tidak terkecuali untuk terkena keracunan makanan walaupun hanya masak di rumah dan tidak membeli makanan di luar.

Di kesempatan ini kami mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa pertama yang meninggal dunia serta kesemua 20 keluarga yang diuji dengan keracunan makanan ini.

SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 5/6/2020