Lukis bulan paling mudah

bulan

PADA 22 Mac 2001, Majlis Raja-raja telah membuat keputusan untuk menolak desakan Umno supaya PAS tidak dibenarkan menggunakan perkataan ‘Islam’ pada namanya. Isu ini timbul sejak kemerosotan pengaruh Umno dalam Pilihan Raya Umum 1999. Umno yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamed telah bertindak menyekat kekerapan pengeluaran Harakah, merampas royalti Terengganu dan cuba mengharamkan nama Islam pada badan-badan politik dan NGO. Dalam Perhimpunan Agung Umno pada 11-13 Mei 2001, desakan telah dibuat kepada kerajaan untuk mengharamkan perkataan ‘Islam’ pada nama PAS dan juga menukar simbol yang berbentuk ‘bulatan putih berlatar belakang hijau’ pada logo Petronas.

Ketika saya berborak-borak dengan Ustaz Hassan mengenai tindakan tidak demokratik Umno ini, tiba-tiba Ustaz berkata, “Umno ini dah lama nak hapuskan Islam pada PAS. Umno tau, Islam itulah kekuatan PAS. Kalau tercabut Islam itu, matilah perjuangan PAS.”

Advertisement

“Umno buat apa sebelum ini, Ustaz?” saya mula mencari punca.

“Umno nak haramkan PAS lah, tapi tak boleh. Depa usaha nak buang syiar Islam dari PAS,” jelas Ustaz secara umum yang membuatkan saya lebih keliru.

“Isu apa sebenarnya?” saya terus bertanya.

“PAS je yang boleh lawan Umno sejak dulu. Kita bawa Islam, Umno bawa Kebangsaan Sekular. Dari segi hujah, sampai kiamat pun Umno takleh lawan kita. Sekular itu jelas sesat. Bila kalah hujah, depa guna undang-undang untuk lawan.

“Lepas Pilihan Raya ’59, pengaruh PAS naik mendadak. Jadi, Umno bawalah isu Konfrantasi (Indonesia), kafir-mengkafir, projek pembangunan, macam-macamlah. Tok-tok guru kena ISA sebab isu kafir-mengkafir ini, Dr Burhanuddin (al-Helmy) dengan Dato’ Raja (Mohd) Hanifah (Abdul Ghani) kena ISA sebab Konfrantasi. Tapi, pengaruh PAS tak luput walaupun kena tekan berat.

“Lepas gaduh ngan Lee Kwan Yew dan Singapura dibuang dari Malaysia (pada 1965), Kerajaan Malaysia buat Akta Pertubuhan (1966) sebab nak tutup cawangan parti Lee Kwan Yew (Parti Tindakan Rakyat – PAP) di Malaysia. PAP ada wakil di Dewan Rakyat, Devan Nair, Bangsar. Jadi, puak-puak Lee Kwan Yew pun tukar nama jadi DAP. Di Singapura, Lee Kwan Yew buat benda serupa. Cawangan PAS dan Umno kena tutup di Singapura. PAS Singapura tukar nama jadi Angkatan Islam Singapura (AIS).

“Dengan Akta (Pertubuhan 1966) ini, Kerajaan Perikatan tekan PAS. Ana diberitahu, dalam tahun ’67 masa ana di Baghdad lagi, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah beritahu PAS, takleh guna dah perkataan Allah Muhammad pada bendera dan pingat PAS. Lepas itu, Mesyuarat Agung (Tahunan PAS Kali Ke-15 dan 16) di Kangar tahun ’68 buat keputusan untuk buang Allah Muhammad, lepas itu biar bendera PAS itu kosong gitu je. Kita akan tulis semula Allah Muhammad ini bila kita menang memerintah negara ini,” panjang lebar Ustaz memberikan latar belakang.

“Apa masalahnya, Ustaz?” saya mencari kepastian.

“Kerajaan kata, takut orang salah faham, Allah Muhammad itu PAS punya. Macam PAS salah guna agama. Walhal memang kita berjuang untuk tegakkan agama,” Ustaz menjelaskan dengan nada kesal.

“Apa lagi Umno buat, Ustaz?” saya belum berpuas hati.

“Kerajaan arah kita pinda Perlembagaan (PAS) supaya tidak bercanggah dengan arahan RoS. Bab Allah Muhammad pada bendera dan pingat itu lah,” jelas Ustaz lagi.

“Kita terus pinda ke?” saya terus bertanya.

“Asalnya kita merayu, tapi ditolak. Sebab itu kita bawa ke Mesyuarat Agung ’68 itu. Lepas itu, tak sempat buat apa-apa, mari 13 Mei. Jadi diam gitu jer lah. Allah Muhammad itu, kita tak guna dah di markas-markas, bendera, pingat kita. Kita tau je, kalau kita berkeras, Umno ambil kesempatan nak haramkan PAS. Kita belajar dari tindakan Rasulullah S.A.W masa Hudaibiyah. Nabi S.A.W sapu je perkataan Rasulullah dalam surat perjanjian sebagai helah politik,” Ustaz menggambarkan bagaimana pimpinan PAS ketika itu dapat mengadaptasikan Sirah itu untuk meneruskan perjuangan Islam.

“Tapi…” masih ada yang terbuku di hati Ustaz.

“Umno tak puas hati lagi. Masa pinda Perlembagaan (Persekutuan) lepas MAGERAN itu, Peguam Negara, (Tan Sri) Abdul Kadir Yusof kata dalam Dewan Rakyat, PAS tak dibenarkan lagi berjuang Melayu dan juga Islam. Sebabnya, dua perkara ini sensitif dan boleh menyebabkan rusuhan politik macam 13 Mei.

“Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) jawab. Dia kata, bila masa PAS berjuang ketuanan Melayu, takde sebut Perlembagaan PAS. Islam pula, kita tak usik kuasa Raja-raja Melayu bab ibadat, sembahyang, puasa. Kita berjuang nak jadikan Islam sebagai dasar negara saja. Tidak berkaitan dengan Raja-raja. Jawapan Datuk Asri itu Peguam Negara tak dapat jawab,” Ustaz menjelaskan usaha terbaru Umno ke atas PAS. Ketika ini, kata Ustaz, Peguam Negara adalah Menteri Undang-undang, sebab itu dia berbahas di Parlimen.

“Kira gagallah percubaan Umno itu, Ustaz?” saya cuba membuat kesimpulan.

“Belum. Umno buat helah lain lagi. Depa guna RoS sekali lagi. Awal tahun ’71 tu, ana di Pejabat Agung PAS sebagai Setiausaha Kerja. Dapat surat dari RoS. Dia kata, cadangan Pindaan Perlembagaan PAS yang kita lulus di Kangar ditolak. Pertama, dia tak benar PAS guna nama ‘Parti Islam’ sebab tidak khusus untuk mana-mana negara. Kedua, tak benar dah PAS guna simbol ‘Bulan Bintang’ untuk semua kegiatan PAS. Sebab serupa dengan simbol masjid.

“Masa lepas 13 Mei itu, KDN dah tarik balik permit majalah Bulan Bintang kita, sekarang dia tak benar kita guna simbol Bulan Bintang pula. Perkataan Allah Muhammad kita dah buang sebelum ini,” kenang Ustaz terhadap tekanan Umno ke atas PAS kerana semata-mata hendak menyekat pengaruh politik Islam.

“Walhal… Masa ini kita tengah berunding dengan Perikatan untuk buat Kerajaan Campuran,” Ustaz terus melahirkan kekesalannya di atas kerakusan tindakan politik Umno.

“Habis itu, apa jadi, Ustaz?” saya terus keliru dengan tekanan politik Umno ini.

“Masa awal ’72, desas-desus PAS akan buat Kerajaan Campuran dengan Perikatan di Kelantan, tiba-tiba (Dato’) Mat (Mohamed) Yaacob, Timbalan Menteri KDN bawa usul di Dewan Rakyat nak pinda Akta Pilihan Raya (1958). Mat Yaacob kata, salah guna agama ini lebih bahaya dari isu kaum, boleh menyebabkan keganasan. Jadi, dia kata, kena haramkan penggunaan semua simbol agama dalam pilihan raya. Jadi, Bulan Bintang ini dikira simbol agama Islam dan kalau PAS guna orang boleh keliru. Jadi, tak benar juga guna Bulan Bintang pun,” jelas Ustaz lagi.

“Sejak bila lagi kita guna Bulan Bintang ini, Ustaz?” saya mula mengorek asal-usulnya.

“Lepas merdeka, pimpinan PAS buat keputusan, dalam tahun ’58 lebih kurang, untuk hadap pilihan raya akan datang (1959) kita akan guna simbol baru, Bulan Bintang ganti Tangan Terbuka. Sejak Pilihan Raya 1959 itu sampai ’69, guna Bulan Bintang lah. Dan untuk tiga kali Pilihan Raya Umum,” cerita Ustaz lagi.

“Pimpinan buat apa, Ustaz?” saya cuba mendapatkan penjelasan mengenai tindakan pimpinan PAS setelah Bulan Bintang diharamkan.

“Masa ini kan kita tengah proses pinda Perlembagaan (PAS). Pimpinan banyak kali bincang mengenai simbol baru PAS. Akhirnya, mesyuarat terakhir Jawatankuasa (Kerja) Agung PAS sebelum Mesyuarat Agung (Tahunan PAS Kali Ke-18) tahun ’72, pimpinan buat keputusan, kita ikut simbol kita dalam Pilihan Raya Kecil Tumpat Barat, iaitu Bulan Purnama,” jelas Ustaz mengenai pertukaran simbol PAS.

“Bila kita mula guna Bulan Purnama ini, Ustaz?” saya bertanya lagi.

“Asalnya, akhir tahun ’71 itu, ada wakil rakyat kita di Kelantan mati. DUN Tumpat Barat. Jadi Jawatankuasa (Kerja) Agung (PAS) bincang pasal pilihan raya ini, nak pakai simbol apa. Kita setuju untuk sementara waktu Pilihan Raya Kecil ini, ikut bendera PAS, ‘bulat kosong’ saja. Bendera PAS itu, bulat hijau, tapi simbol ini, bulat putih, background hijau,” Ustaz menyebutkan teknikalnya ketika simbol Bulan Purnama pertama kali digunakan.

“Ana sebagai Ketua Pemuda (PAS Pusat) merangkap Setiausaha Kerja (PAS Pusat), tunjuk contoh kat AJK. Ana ambil dulang, letak atas kain hijau, tekup bulatan guna dulang itu. Yang bulat itu, kita cat putih guna cat macam cat Palaka la ini,” jelas Ustaz lagi yang membuatkan saya teringat cara-cara kami membuat banner ketika itu dengan menggunakan cat Palaka untuk melukis atau menulis atas kain.

“AJK semua setuju. Jadi, lepas itu, kalau ana pergi program di mana-mana, orang tanya, bendera baru PAS itu macam mana. Ana kata, senang je. Ambil pinggan atau tudung botol, tekup atas kertas atau kain, buat bulatan. Lepas itu cat putih. Siap. Lukis bendera PAS paling mudah. Lepas itu, pusing lah kut mana-mana pun, atas bawah, terbalik… Sama je. Lukis bulan paling mudah,” Ustaz gelak sambil mengenangkan bagaimana simbol Bulan Purnama bermula untuk menggantikan Bulan Bintang.

“Lepas itu, kita bincang semula dalam Jawatankuasa Agung untuk dibawa ke Mesyuarat Agung (Tahunan PAS) tahun ’72. Pimpinan buat keputusan, kekal guna Bulan Penuh atau Bulan Purnama, serupa di Tumpat Barat. Kita nak bulan juga. Tak dapat Bulan Bintang, Bulan Purnama pun OK. Lepas Mesyuarat Agung dah lulus, kita terus kemuka kepada RoS. Dalam awal tahun depan itu (1973) lulus.

“Kira-kira, di Tumpat Barat itu lah yang pertama guna Bulan ini. Lepas itu ada lagi beberapa Pilihan Raya Kecil, kita bergilir dengan Umno bertanding. Tapi masa Pilihan Raya Umum ’74 kita tidak guna Bulan Purnama, sebab kita masuk atas tiket BN (Barisan Nasional), guna Dacing. Kita guna semula Bulan ini dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan lepas darurat Datuk Mat (Mohamad) Nasir,” cerita Ustaz mengenai sejarah permulaan simbol ‘Bulan Purnama.’

Sebelum kami berpisah, Ustaz berpesan “Enta kena ingat, bila kita dah dapat kuasai Putrajaya, Allah Muhammad itu kita kena tulis semula kat bendera kita.” Wasiat Ustaz ini saya panjang kepada pimpinan PAS sekarang, supaya keputusan Mesyuarat Agung aka Muktamar Tahunan PAS 1968 tidak diabaikan.

Semoga Allah mengampuni Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 5/6/2020

Perhatikan bendera PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-13 di Kota Bharu pada 20-21 April 1965. Bendera Sang Saka Merah Putih Allah Muhammad (yang paling kanan) masih tertera perkataan “Allah Muhammad” di samping bendera Bulan Bintang.
Inilah Lencana PAS sebesar duit 20 sen yang biasa disemat di baju ahli-ahli PAS satu ketika dahulu. Pada bahagian atas, berwarna merah dan tertulis “Allah Muhammad,” manakala bahagian bawah yang berwarna putih tertulis “PAS 1951.”
Simbol Bulan Bintang ini juga dimusuhi, kononnya PAS telah merampas simbol masjid dan negara Islam. Semua bentuk Bulan Bintang yang ada pada PAS tidak dibenarkan lagi.
Satu karikatur yang menyindir tindakan kerajaan ke atas logo Petronas, kerana menyerupai simbol PAS. Ia dibuat kesan daripada desakan dalam Perhimpunan Agung Umno.