Peraturan sedia ada kekal – Dr Samsuri

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu belum membuat sebarang kajian baharu dan masih mengekalkan peraturan sebelumnya, dalam isu lesen arak di negeri ini.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan baharu mengenai lesen penjualan minuman keras itu.

Ini kerana, katanya tiada isu berbangkit mengenai penjualan arak kepada orang bukan Islam di negeri Terengganu.

Advertisement

Menurut Dr Samsuri, kerajaan negeri akan melihat peraturan yang dikemukakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum membuat keputusannya.

“Kita (kerajaan) belum buat sebarang kajian dan kita akan tengok di peringkat Kementerian Kerajaan Tempatan.

“Alhamdulillah, kita di Terengganu ini tidak ada isu berkaitan hal demikian. Penjualan arak kepada orang bukan Islam pun berjalan seperti biasa. Belum ada keputusan sehingga kita dapat daripada pihak kementerian baharu kita akan bertindak.

“Setakat ini macam biasa lagi di negeri Terengganu, lagi pun (peraturan) antara negeri-negeri tidak sama dan buat masa ini tidak ada perubahan lagi,” ujarnya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, peraturan berkaitan penjualan dan lesen minuman keras juga tidak sama antara negeri-negeri.

Isu minuman keras itu menjadi ‘hangat’ apabila banyak kes berkaitan pemandu mabuk hingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut membabitkan pihak yang menjadi mangsanya.

Sehubungan itu, pihak KPKT bersedia mempertimbangkan usul supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan lesen baharu penjualan arak tersebut.

Malah, langkah lebih drastik telah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), apabila bertindak membekukan serta merta permohonan baharu lesen minuman keras.

Tindakan drastik pihak DBKL itu ekoran isu kematian beberapa pengguna jalan raya yang dirempuh pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut memaklumkan, lebih 800 pemandu mabuk telah ditahan di seluruh negara bagi tempoh lima bulan pertama sejak Januari lalu.- HARAKAHDAILY 5/5/2020