RM350 juta Dana Agrofood

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman Dana Agrofood sebanyak RM350 juta kepada industri pertanian dan makanan.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan pinjaman Dana tersebut diperuntukkan bagi memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor ini.

“Selain itu, kerajaan juga akan memperkasakan peningkatan mobiliti tenaga kerja pertanian melalui insentif yang diberikan kepada syarikat perintis untuk melatih dan mengajar tenaga kerja untuk menceburi bidang pertanian dan perladangan.

Advertisement

“Pengusaha pertanian bandar juga akan diberi bantuan bernilai RM500 seorang dan RM50,000 untuk setiap komuniti,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi mendorong sektor komoditi, kerajaan bersetuju memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

Tambah beliau, sebagai komitmen kerajaan untuk mengurangkan impak perundangan COVID-19, kerajaan bersetuju untuk menggubal Rang Undang-undang COVID-19 (Langkah Sementara).

Ujar beliau mengulas lanjut, Rang Undang-undang tersebut merupakan pelepasan sementara (temporary relief) daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

“Kerajaan berharap dengan adanya Akta baharu ini, kelangsungan hidup rakyat Malaysia umumnya dapat diteruskan.

“Insya-Allah, kerajaan akan membentangkan RUU ini pada sesi Parlimen bulan Julai nanti,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, sebentar tadi. – HARAKAHDAILY 5/6/2020