Sabar dalam hadapi menang dan kalah

MENURUT Dr Yusuf al-Qaradhawi (1989) sabar bermaksud menahan diri (tetap atau istiqamah) atau berhenti di sesuatu tempat atau keadaan. (1) Makna ini diambil melalui firman Allah S.W.T:

Advertisement

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا (28)

“Dan tahanlah (tetapkanlah atau istiqamahlah) dirimu bersama dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(al-Kahfi: 28)

Kata lawan bagi perkataan sabar ialah kegelisahan. Ini dapat difahami melalui firman Allah S.W.T:

… سَوَاءٌ عَلَيْنَا أَجَزِعْنَا أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٍ (21)

“… (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita bergelisah atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu).”

(Ibrahim: 21)

Di dalam surah Ali-‘Imran ada kisah mengenai umat Islam berjaya dan ada kisah mengenai umat Islam gagal. Ada kisah mengenai umat Islam berada di puncak kemenangan dan ada kisah mengenai umat Islam berada di lembah kekalahan. Kisah umat Islam menang adalah ketika mana Baginda S.A.W dan para Sahabat menang dalam peperangan Badar manakala kisah Islam kalah ialah ketika Baginda S.A.W dan para Sahabat R.A ditewaskan dalam peperangan Uhud. Namun di akhir surah Ali-‘Imran Allah tutup dengan menyeru umat Islam yang beriman untuk bersabar.

Kisah umat Islam menang di dalam surah Ali-‘Imran

Allah S.W.T berfirman:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ، فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (123(

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedangkan kamu dalam keadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

(ali-Imran: 123)

Ibnu al-Kathir di dalam kitabnya Tafsir al-Qura’n al-‘Azim, telah menceritakan mengenai peperangan Badar yang berlaku pada hari Jumaat, bersamaan 17 Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah. Pada hari ini Allah memuliakan Islam dan umat Islam dengan kemenangan meskipun tentera umat Islam sedikit. Umat Islam pada hari tersebut hanya 300 orang lelaki. 2 orang dalam kalangan mereka berkuda, 70 orang menaiki unta, dan bakinya berjalan kaki. Mereka berperang dalam keadaan tidak mempunyai senjata yang mencukupi. Tentera musuh Islam pada hari tersebut adalah di antara 900 hingga 1,000 orang yang memakai baju dan topi besi, memiliki senjata yang lengkap, kuda yang terlatih, dan alat tambahan yang berlebihan. Namun pada hari tersebut Allah telah telah menghina kesyirikan dengan memenangkan Rasul-Nya. (2)

Muhammad Ali al-Sabuni (1981) di dalam kitabnya Sofwatu al-Tafasir berkata, ayat ini bermaksud Allah menolong ahli Badar dengan keadaan mereka sedikit dan kekurangan senjata supaya mereka mengetahui bahawa pertolongan di sisi Allah (kemenangan) boleh datang meskipun mereka mempunyai bilangan yang sedikit dan tidak mempunyai senjata yang cukup. (3)

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri (2007) di dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum berkata, umat Islam yang berperang dalam Perang Badar adalah sebanyak 313, atau 314, atau 317 orang. 82 atau 83 atau 86 orang daripada Muhajirin, 61 orang daripada al-Aus dan 170 orang daripada al-Khazraj. Ketika Perang Badar, umat Islam hanya mempunyai dua ekor kuda iaitu milik al-Zubair bin al-Awwam dan al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi berserta 70 ekor unta yang setiap satunya ditunggangi oleh sama ada 2 atau 3 orang secara bergilir. Manakala, bagi tentera kafir Quraisy mereka hadir seramai 1,300 orang tentera bersama dengan 100 ekor kuda dan bilangan unta yang terlalu banyak sehingga tidak dapat dikira (dianggarkan sehari mereka menyembelih di antara 9 hingga 10 ekor unta. Tentera kafir Quraisy dipimpin oleh Abu Jahal bin Hisyam. Perbelanjaan mereka ditaja oleh 9 orang bangsawan Quraisy. (4)

Perang Badar adalah perang istimewa kerana ia adalah peperangan pertama umat Islam, dihadiri oleh para malaikat, matinya Abu Jahal iaitu Firaun zaman Rasulullah (5) dan Umat Islam menang meskipun dengan bilangan tentera yang kecil.

Bilangan umat Islam yang syahid dalam Perang Badar ialah sebanyak 14 orang (6 orang Sahabat daripada Muhajirin dan 8 orang Sahabat daripada Ansar) manakala orang kafir Quraisy yang terbunuh adalah sebanyak 70 orang dan 70 orang yang lain menjadi tawanan perang Baginda S.A.W. (6)

Kisah umat Islam kalah di dalam surah Ali-‘Imran

Allah S.W.T berfirman:

أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُم مُّصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُم مِّثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّىٰ هَٰذَا ۖ قُلْ هُوَ مِنْ عِندِ أَنفُسِكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ(165)

“(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(ali-‘Imran: 165)

Ibnu Kathir berkata, maksud musibah di sini ialah kekalahan yang menimpa mereka dalam peperangan Uhud di mana umat Islam dibunuh seramai 70 orang daripada mereka sepertimana di dalam peperangan Badar umat Islam telah membunuh 70 orang kafir Quraisy dan menawan 70 orang kafir Quraisy. (7)

Muhammad Ali al-Sobuni(1981) di dalam kitabnya Sofwatul Tafasir, berkata mesej yang disampaikan dalam ayat ini ialah sesungguhnya musibah yang menimpa mereka dalam Perang Uhud ini adalah berpunca daripada diri mereka sendiri iaitu kerana mereka mengingkari arahan Rasulullah S.A.W dan memburu al-ghanimah. (8)

Menurut Ibnu Abu Hatim, dinukilkan oleh Ibnu Kathir, telah berkata Umar al-Khattab, ketika Perang Uhud, setahun selepas peperangan Badar, mereka dihukum dengan apa yang mereka lakukan selepas menang di dalam Perang Badar iaitu mengambil wang tebusan untuk membebaskan tawanan Perang Badar, maka terbunuhlah daripada mereka 70 orang dalam peperangan Uhud dan turun ayat 165 surah Ali-‘Imran. (9)

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum merekodkan, setelah setahun kalah di dalam Perang Badar, kafir Quraisy telah berjaya mempersiap sebanyak 3,000 tentera daripada kaum Quraisy, sekutu-sekutu mereka dan orang-orang Habsyah termasuk 15 orang wanita yang juga turut hadir untuk memberikan semangat kepada tentera mereka. Mereka hadir dengan 3,000 ekor unta untuk mengangkat barang keperluan dan persenjataan serta 200 ekor kuda perang. Manakala bagi tentera umat Islam mereka terdiri daripada 1,000 orang tentera, 100 orang daripadanya memakai baju besi dan 50 daripadanya adalah pasukan kuda tempur. (10)

Dalam peperangan Uhud, Allah S.W.T telah menzahirkan wajah sebenar golongan-golongan yang munafik di dalam Islam. Abdullah bin Ubai bersama 300 orang sahabatnya pulang ke Madinah di pertengahan jalan kerana mempersoal kewibawaan Nabi Muhammad S.A.W yang meninggalkan pandangan Baginda S.A.W dan mengangkat pandangan orang lain.

Tindakan mereka ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu usaha untuk mencederakan psikologi tentera umat Islam sehingga menyebabkan dua kelompok yang lain turut merasa ragu dengan perjuangan ini. Dua kelompok tersebut ialah Bani Harisah daripada al-Aws dan Bani Salamah daripada al-Khazraj. (11)
Maka turunlah ayat Allah:

إِذْ هَمَّت طَّائِفَتَانِ مِنكُمْ أَن تَفْشَلَا وَاللَّهُ وَلِيُّهُمَا ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (122)

“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”

(ali-‘Imran: 122)

Allah S.W.T juga turut merakamkan hikmah daripada tindakan munafik Abdullah bin Ubai serta sahabat-sahabatnya yang lain di dalam al-Quran melalui ayat 167 surah Ali-‘Imran.

Allah S.W.T berfirman:

وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُوا ۚ وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا قَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ ادْفَعُوا ۖ قَالُوا لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَّاتَّبَعْنَاكُمْ ۗ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَانِ ۚ يَقُولُونَ بِأَفْوَاهِهِم مَّا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ ۗ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ (167)

Dan agar golongan munafik itu mengetahui ketika dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.”

(ali-‘Imran: 167)

Melalui strategi yang dirangka oleh Baginda S.A.W, Baginda S.A.W telah memposisikan seramai 50 orang tentera pemanah yang cekap daripada kalangan para Sahabat untuk berada di atas bukit bagi mengawasi tentera berkuda kafir Quraisy yang datang daripada belakang. Pasukan pemanah ini dipimpin oleh Abdullah bin Jubair bin al-Nu’man al-Ansariy. Manakala tentera berkuda daripada kafir Quraisy pula dipimpin oleh Khalid al-Walid (belum masuk Islam ketika ini).

Di antara arahan Baginda S.A.W kepada pasukan pemanah di Jabal al-Rummat:

(1)

“Kucar-kacirkan pasukan berkuda mereka daripada kami dengan panah-panah kamu, agar mereka tidak boleh datang kepada kami dari arah belakang. Kalau kita menang atau kalah sekalipun, maka tetaplah kamu di situ, agar pihak musuh tidak mendatangi kita dari arah kamu.”

(Hadis Riwayat Ibnu Hisham)

(2)

“Kawallah bahagian belakang kami, jika kamu lihat kami terbunuh maka jangan dibantu, kalau kamu lihat kami mendapat harta rampasan, maka jangan turun menyertai kami.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tabrani)

(3)

“Sekiranya kamu melihat kami disambar oleh burung sekalipun, maka jangan kamu tinggalkan tempat kamu melainkan setelah aku hantar utusan kepada kamu. Sekiranya kamu melihat kami menewaskan mereka dan memijak-mijak mereka, maka jangan kamu tinggalkan tempat kamu melainkan aku hantar utusan kepada kamu.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pasukan pemanah telah memainkan peranan mereka dengan cekap. Sebanyak 3 kali cubaan nekad yang dilakukan oleh pasukan Khalid al-Walid namun kesemuanya tidak berjaya.

Apabila tentera Islam dengan bilangan yang kecil sekali lagi mencipta rekod berjaya mengalahkan tentera kafir Quraisy yang mempunyai bilangan tentera yang lebih besar, pasukan pemanah yang berada di Jabal al-Rummat mula hilang pertimbangan. Meskipun arahan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W telah jelas, namun mereka tetap terpengaruh apabila melihat Sahabat-sahabat mereka yang lain sedang mengumpul harta rampasan perang.

Abdullah bin Jubair telah mengingatkan mereka dengan arahan Baginda S.A.W namun sebahagian besar mereka tidak mempedulikan peringatan tersebut. Seramai 40 orang telah meninggalkan Jabal al-Rummat menyertai umat Islam yang lain mengumpul al-Ghanimah. Maka tinggallah Abdullah bin Jubair bersama 9 anggota pemanah yang lain. Khalid al-Walid yang melihat peluang keemasan ini terus melakukan tindakan serangan pantas daripada belakang sehingga tentera kafir Quraisy yang telah kalah sebelum ini bermotivasi untuk bangkit kembali melawan umat Islam yang sedang mengumpul al-Ghanimah. (12)

Akhirnya, umat Islam berkecamuk dan menyebabkan Rasulullah S.A.W hampir mati dibunuh di dalam Perang Uhud. Umat Islam kalah dengan keadaan yang sangat menyedihkan, mayat para syuhada dicincang, ada yang dipotong kemaluannya dan Hamzah R.A dimamah jantungnya oleh Hindun bin Utbah. (13)

Selepas merakam kisah mengenai umat Islam menang dan kalah di dalam surah Ali-‘Imran, Allah tutup surah Ali-‘Imran dengan satu mesej yang sangat tuntas kepada setiap manusia yang beriman iaitu sabar.

Allah S.W.T berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (200)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan ribathlah kamu serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(al-‘Imran: 200)

Menurut Imam al-Ghazali, dinukilkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi (1989) dalam kitabnya al-Sabru fi al-Quran makna sabar yang pertama di dalam ayat ini ialah sabar dengan perkara yang berkaitan dengan diri kita. Antaranya ialah sabar mentaati Allah, sabar menerima ujian daripada Allah, dan sabar meninggalkan maksiat. Sabar yang kedua ialah sabar dalam perkara yang berkaitan antara diri kita dan orang lain. Ini adalah sabar yang lebih tinggi. Antaranya sabar dengan kejahatan musuh Islam, sabar dengan kezaliman pemerintah, sabar dengan pengkhianatan golongan munafik dan sabar dengan sifat manusia yang pelbagai. (14)

Setiap umat Islam yang beriman dan berjuang di jalan Allah, pasti akan menghadapi dua kitaran perjuangan seperti kisah di atas sama ada berada di puncak kemenangan (Badar) atau berada di lembah kegagalan (Uhud). Namun kejayaan serta kegagalan tersebut tidak boleh menghakis sifat orang yang beriman dan berjuang di jalan Allah iaitu sentiasa bersabar, beristiqamah dengan Islam, bertakwa kepada Allah dan sentiasa mencari keredhaan Allah S.W.T.

Sabar dalam menghadapi kemenangan bermaksud tidak sombong di atas kemenangan yang dikecapi, tidak lalai dengan kemewahan dunia, mengurus hasil kemenangan melalui cara Islam, istiqamah mengembalikan manfaat daripada kemenangan tersebut untuk kemaslahatan Islam, meninggikan syariat Islam dan memberi kebajikan kepada manusia sejagat.

Sabar dalam menghadapi kegagalan bermaksud tidak putus asa dengan pertolongan dan rahmat Allah, sentiasa bermuhasabah di atas kesilapan yang dilakukan, bersangka baik dengan ujian Allah, dan sentiasa mencari jalan untuk keluar daripada masalah, merangka pelan ke arah kejayaan, dan memastikan pelaksanaan ke atas strategi menuju kemenangan mematuhi syarat-syarat mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T.

Bagi mereka yang beriman, setiap apa yang menimpa mereka di atas muka bumi ini, ianya adalah peluang untuk mereka mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Kerana dunia ini adalah persinggahan dan syurgalah matlamat utama mereka. Pedoman daripada Allah S.W.T bagi umat Islam yang beriman untuk menghadapi ujian kemenangan dan kekalahan.

Allah S.W.T berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (153)

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah bantuan (kepada Allah) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.”

(al-Baqarah: 153)

Inilah adat orang yang beriman, apabila mereka diberikan ujian sama ada ujian kesenangan atau kesusahan, mereka bersabar (beristiqamah dengan Islam) dan mendirikan solat memohon pertolongan daripada Allah S.W.T pemilik kepada kesusahan dan kesulitan.

Semoga Allah jadikan kita termasuk dalam kalangan mereka yang bersabar dalam menghadapi ujian kemenangan dan kekalahan serta berjaya di dunia dan akhirat. Amin.
Wallahua’alam.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Penolong Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

Rujukan:

(1) Dr Yusuf al-Qaradhawi (1989). al-Sabru fi al-Quran, Qaherah: Maktabah Wahbah, halaman 8.
(2) Al-Hafiz ‘Imadudin Abi al-Fida’ Ismail Ibn Kathir, Tafsir al-Qura’n al-‘Azim (Tahqiq: Sami bin Muhammad al-Sallamah, 1997) Darul Tayyibah, halaman 111.
(3) Muhammad Ali al-Sabuni (1981), Sofwatu al-Tafasir, Beirut: Darul Quran al-Karim, jilid 4, halaman 228.
(4) Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, halaman 204.
(5) Diriwayatkan oleh imam Ahmad di dalam Musnadnya no 3824.
(6) Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, halaman 224.
(7) Al-Hafiz ‘Imadudin Abi al-Fida’ Ismail Ibn Kathir, Tafsir al-Qura’n al-‘Azim (Tahqiq : Sami bin Muhammad al-Sallamah, 1997), Darul Tayyibah, halaman 158.
(8) Muhammad Ali al-Sabuni (1981), Sofwatu al-Tafasir, Beirut: Darul Quran al-Karim, jilid 4, halaman 241.
(9) Al-Hafiz ‘Imadudin Abi al-Fida’ Ismail Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (Tahqiq: Sami bin Muhammad al-Sallamah, 1997), Darul Tayyibah, halaman 159.
(10) Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, halaman 252.
(11) Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, halaman 254.
(12) Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, halaman 264.
(13) Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2007), al-Rahiq al-Makhtum, Qatar: Wazaratu al-Auqaf wa al-Syuu’n al-Islamiyyah, halaman 286.
(14) Dr Yusuf al-Qaradhawi (1989). al-Sabru fi al-Quran, Qaherah: Maktabah Wahbah, halaman 8. – HARAKAHDAILY 5/6/2020