Siasat Lim Guan Eng – DPPNS

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan (DPPK) untuk membuat satu laporan ke atas Lim Guan Eng (LGE), mantan Menteri Kewangan berhubung penularan pendedahan surat Tommy Thomas kepada Lim Guan Eng bertarikh 14 Jun 2019 yang tular di media sosial.

Pihak berautoruti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM diharapkan dapat mengambil tindakan tegas dengan melakukan penyiasatan ekoran isi kandungan tersebut yang jelas menunjukkan LGE, atas kapasiti jawatannya yang dipegang ketika itu menyalah gunakan kuasanya kerana cuba mencampuri urusan siasatan dan mempengaruhi Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyahbekukan akaun seorang taikun hartanah.

Advertisement

DPPNS akan membuat satu laporan berhubung kes ini bagi mendesak siasatan secara telus dan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa. Jika ia disenyapkan kita bimbang, negara kita masih lagi dibelenggu kes penyelewengan dengan status jenayah kolar putih oleh orang atasan. Tiada siapa yang boleh terkecuali dari lunas perundangan. Sama ada benar bersalah atau tidak, kita serahkan pihak berkuasa bertindak dan menyiasat. Yang utama, perlu ada tindakan susulan ke atas kes ini.

Selain dari DPPNS dan DPPK, orang ramai boleh ambil tindakan yang sama membuat laporan sebagai tanda cakna dan prihatin isu yang melanda politik tanah air semasa. Kita mengharapkan rakyat celik dan bersatu padu bagi memastikan negara kita bebas dari sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor- HARAKAHDAILY 5/6/2020