Wira Bagan Datuk terima anugerah

BAGAN DATUK: Sujud syukur ‘Wira Bagan Datuk’ selepas dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbesar hati memberi Anugerah Skim Tanah Pertanian Berkelompok sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada jasanya.

Advertisement

Wira Bagan Datuk atau nama sebenarnya Ustaz Muhammad Nor Imran Maula Abdul Jalil menerima anugerah itu dalam satu majlis ringkas hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin.

Beliau yang mewakili Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan khas RM7000 atas keberanian Nor Imran menyelamatkan empat remaja daripada lemas.

“Kita sendiri terkejut apabila mendapat makluman yang beliau sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan mereka yang terhumban ke dalam tali air” tambahnya.

Jelasnya, tindakan keperwiraan tersebut wajar dicontohi dan beliau perlu dijadikan Ikon masyarakat masa kini.

Ustaz Nor Imran bakal menerima dividen tahunan RM2500 di bawah Skim Usahawan Tani Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bermula Jun ini.

Beliau yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama Rakyat Parit 25 Baroh, Tanjung Bayan, Hutan Melintang bersyukur terhadap penghargaan yang diberikan selain berharap supaya pemandu di jalan raya berhati-hati memandu dalam apa jua keadaan.

“Saya bersyukur kepada Allah atas penghargaan yang diberikan Kerajaan Perak, dan ini di luar jangkaan. 

“Saya dedikasikan penghargaan ini kepada ibu bapa angkat saya, yang telah menjadikan saya insan seperti ini dan saya akan terus berbakti sepanjang saya hidup,” katanya lagi.

“Bila terjadi apa-apa, jangan menuding jari. Beri bantuan jika kita mampu tanpa hirau bangsa, agama dan status” jelasnya.

Beliau sentiasa mengambil maklum akan keadaan mangsa-mangsa namun masih lagi tidak dapat menghubungi dua lagi mangsa dan berharap dapat berjumpa mereka semula.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Datuk Khairudin Tarmizi, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadhilah Abdul Halim, Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Datuk, Ustaz Muhamad Khairul Basri Osman dan Ketua Unit Kafa Bahagian Pendidikan JAIPk, Ustaz Zairul Amin Ghalib.

Terdahulu pada 27 Mei (Rabu), tindakan Nor Iman menyelamatkan sekumpulan remaja yang hampir lemas dan dihanyutkan arus di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah berhampiran Bota, tular di laman sosial dan mendapat perhatian daripada Menteri Besar Perak. – HARAKAHDAILY 5/6/2020