SPRM didesak segera siasat Guan Eng, Tommy

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Advertisement

Setiausaha Pemuda dan Pengarah Jabatan Penerangan Pemuda PAS Pahang, Dr Firdaus Ismail dan Ustaz Zulfadli Zakariah membuat laporan itu susulan tular sekeping surat yang mengandungi unsur salah guna kuasa oleh kedua-dua individu tersebut.

Laporan telah dibuat di ibu pejabat SPRM Negeri Pahang di Indera Mahkota, di sini semalam.

Menurut Zulfadli, laporan dibuat bagi mendesak SPRM menyiasat segera dakwaan dilakukan oleh bekas Menteri tersebut kepada bekas Peguam Negara yang didakwa wujud unsur salah guna kuasa dan campur tangan di dalam urusan perundangan negara.

“Surat tersebut telah menimbulkan persoalan dan spekulasi kepada rakyat negara ini bahawa adakah keputusan Tommy dalam kes ini telah dipengaruhi? Apa sebab bekas Menteri Kewangan ini perlu menghantar surat terus kepada pihak Peguam Negara khusus untuk kes ini?

“Maka kerana itu kami mendesak agar perkara ini disiasat segera oleh pihak SPRM bagi mempertahankan maruah dan kredibiliti institusi perundangan negara daripada terus tercalar,” kata Dr Firdaus. – HARAKAHDAILY 6/6/2020