Taqwa Green Mart bawa model niaga ke Parlimen Sik

SIK: Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (LEPU) PAS Kawasan Lumut telah memenuhi undangan Ahli Parlimen PAS Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman untuk mengadakan ziarah kerja di Kompleks PAS Kawasan Sik bersama Ahli jawatankuasa PAS Sik di Sungai Pau di sini, kelmarin.

Advertisement

Rombongan yang telah diketuai oleh Yang Dipertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman itu turut disertai Pengerusi LEPU PAS Lumut, Ahmad Kamarulnizam Majid bersama aktivis masyarakat juga kenalan rapat, Raai Yusuf.

Rosli dalam ucapan aluan merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada PAS Sik kerana Menteri Besar Kedah ke-14, Muhammad Sanusi Md Nor juga ADUN Jeneri dalam Parlimen Sik.

Menurut beliau lagi, PAS Lumut mencadangkan PAS Kawasan Sik membawa gagasan yang lebih besar dengan mewujudkan sebuah gudang produk-produk muslim di sini.

Beliau melahirkan keyakinan ianya dapat direalisasikan setelah melihat beberapa faktor utama.

Antaranya jumlah cawangan terbanyak dan majoriti besar penduduk Sik adalah Melayu.

Ini ditambah lagi terdapat begitu produk Muslim telah berjaya dihasilkan di negeri Jelapang Padi serta jumlah peruncit kecil-kecilan dalam kalangan Melayu.

Dalam sesi pertemuan bersama pimpinan PAS Kawasan Sik itu juga, Pengerusi LEPU Lumut telah diberi kepercayaan untuk membentangkan Projek Ekonomi PAS Lumut berhubung Perniagaan Kedai Runcit Taqwa Green Mart secara khususnya.

“Penubuhan Taqwa Green Mart adalah usul yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung PAS Lumut yang lalu.

“Secara langsung, menjadi keutamaan kepada semua ahli PAS Lumut untuk menjayakan dengan membeli barangan keperluan harian di sini dan secara tidak langsung dapat membuang stigma PAS tidak boleh berniaga walaupun sebelumnya terdapat beberapa siri perniagaan”, ujar beliau.

Tambahnya lagi, dalam tempoh PKP yang lalu, dapat dilihat dengan jelas sejauh mana pembekalan produk Muslim mampu untuk bersaing.

“Dan dapat membekalkan keperluan kepada peruncit-peruncit kecil dan penggunaan teknologi yang rendah di kalangan pembekal kerana masih mengamalkan penghasilan produk secara manual,” kata beliau lagi ketika menjawab soalan mengenai operasi TGM semasa PKP Covid19. – HARAKAHDAILY 6/6/2020