Aktiviti pelancongan domestik dibenarkan – PM

KUALA LUMPUR: Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan setelah bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, PKPP yang dijadualkan berkuatkuasa bermula 10 Jun ini, iaitu tiga hari dari sekarang masih belum membolehkan rakyat Malaysia untuk melancong ke luar negara memandangkan pintu sempadan negara masih ditutup.

Advertisement

Berita baik ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

“Saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau ‘new normal’ setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana.

“Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, dalam tempoh PKPP, hampir kesemua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

“Sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan.

“Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan,” jelasnya.

Malah, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan termasuk lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi, kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.- HARAKAHDAILY 7/6/2020