Kes Lim Guan Eng serius

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mendesak kerajaan supaya mengenakan tindakan terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung dakwaan berlaku penyelewengan.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdullah berkata, Setiausaha Agung DAP itu didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk mencampuri siasatan Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Guan Eng dilapor membatalkan pembekuan akaun taikun hartanah yang dilakukan pada akhir Mei tahun lalu dan ditunaikan oleh Penguam Negara ketika itu Tommy Thomas.

Advertisement

“Oleh itu kita mendesak supaya siasatan secara telus dan tindakan sewajarnya diambil pihak berkuasa terhadap kedua-dua individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di ibu pejabat SPRM Kelantan di sini bagi mengemukakan laporan mengenai penyelewengan tersebut.

Turut hadir Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim; Setiausahanya, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed dan Ketua Penerangan, Ustaz Razuan Awang Hamad.

Laporan tersebut dibuat oleh Setiausaha dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan diterima Ketua Siasatan Negeri Mohd Saufi Ab. Halim.

Mohd Ariff yang juga Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa berkata, rakyat mahu kerajaan berintegriti serta bersih daripada sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Oleh itu kes-kes seperti ini mesti diambilberat dan dipandang serius oleh semua pihak. Kita juga berharap kerajaan tidak berkompromi dengan individu melakukan kesalahan.

“Semalam kita juga membuat laporan polis oleh semua Pemuda PAS peringkat kawasan di Kelantan bagi menyatakan desakan ini,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai permintaan Lim Guan Eng untuk membatalkan pembekuan akaun taikun hartanah yang dilakukan pada akhir Mei tahun lalu.

Pada ketika itu Tommy melaksanakan arahan tersebut dalam tempoh dua minggu walaupun SPRM memaklumkan RM4 juta gagal dipulangkan kepada kerajaan.

Taikon yang bergelar Tan Sri itu, kini disiasat berhubung transaksi kewangan itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).– HARAKAHDAILY 7/6/2020