PKPP: 7 strategi dilaksana kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berteraskan tujuh strategi yang telah digariskan.

Advertisement

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia membabitkan pengukuhan kesihatan awam, perundangan dan penguatkuasaan serta pengukuhan kawalan sempadan.

Tambahnya lagi, PKPP turut membabitkan strategi pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi, pembudayaan kebiasaan baharu, pemerkasaan tanggungjawab komuniti dan perlindungan golongan berisiko.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Perutusan Khas Perdana Menteri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, kata beliau strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan.

Ujarnya, manakala di peringkat kerajaan negeri pula, strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti.- HARAKAHDAILY 7/6/2020