PKPP: Terus patuh SOP, terima kasih ‘frontliners’

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyambut baik keputusan terbaik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin mengenai fasa seterusnya dalam menangani pandemik COVID-19 iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020.

Advertisement

PKPP yang diumumkan pastinya memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada orang ramai khususnya kebenaran merentas negeri. Malahan inilah pungutan suara tertinggi dalam satu kaji selidik yang diharapkan oleh orang ramai. Namun kebenaran ini pastinya bukan semata-mata suara orang ramai melainkan ia adalah hasil dari dapatan data terkini mengenai kes COVID-19 yang semakin baik ekoran kepatuhan yang tinggi oleh rakyat terhadap SOP dari masa ke semasa

Walaupun begitu, orang ramai tetap dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP dari pihak kerajaan yang dikeluarkan dari masa ke semasa agar dapat terus menanganibdan memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Sikap orang ramai yang patuh terhadap SOP adalah pemangkin segala keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada hari ini untuk dapat dilaksanakan dengan baik bagi menjaga maslahat umum.

DPPNS juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang tidak jemu-jemu melaksanakan tugasan sejak awal PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac tempoh hari. Tanpa pengorbanan yang tinggi dari para petugas barisan hadapan, belum tentu kita dapat perolehi perkembangan suasana yang baik dalam sepanjang tempoh PKP.

Fasa terbaru PKPP ini jelas menunjukkan bagaimana komitmen orang ramai membantu para petugas barisan hadapan serta pihak kerajaan adalah dalam keadaan yang baik. Tidak pelik apabila satu kajian sebelum ini yang dilaporkan menunjukkan 98 peratus rakyat di negara ini berpuas hati dengan tindakan kerajaan pada hari ini.

Inilah suasana yang baik dan cukup harmoni, dalam kesemua pihak memberikan keutamaan terhadap isu besar negara serta pelan-pelan pemulihan ekonomi yang dibentangkan bagi terus menjadikan Malaysia sebuah negara yang sejahtera.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 7/6/2020