Perutusan tahniah Hari Keputeraan Rasmi YDPA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
DKP.,DKM., DK., DMN., SSAP., SIMP., DK.(Terengganu)., DK.(Johor)., SPMJ., PAT., DKMB.(Brunei)., DK.(Kedah)., DK.(Perlis)., DK.(Perak).

Advertisement

Ampun Tuanku,

Patik mewakili seluruh hamba rakyat Pemuda PAS merafakkan sembah dirgahayu setinggi-tinggi tahniah atas Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI yang diraikan hari ini. Patik mewakili seluruh hamba rakyat Pemuda PAS menumpang sukacita dan syukur atas limpah Allah Yang Maha Esa mengurniakan Tuanku kesejahteraan kesihatan disamping Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Keluarga Diraja.

Ampun Tuanku,

Sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan setiap hamba dan makhluk di atas muka bumi ini akan umurnya dengan membolehkan kehidupan dalam menjalani urusan dari segala perintah-Nya.

“Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir.”
(al-Fatir: 37)

Pada umur kurniaan-Nya, Tuanku dipilih menerima taklif kekhalifahan-Nya di bumi bertuah Malaysia ini menjadi payung tertinggi negara dan sekalian hamba rakyat. Inilah antara setinggi-tinggi kedudukan yang menjadi amal disisi-Nya untuk Tuanku membawa keberkatan umur menyemai kebaikan kepada semua. Lalu segala kebaikan itu nanti akan menjadi kebajikan yang melayakkan ganjaran Syurga dari-Nya di negeri abadi kelak.

Ampun Tuanku,

Patik sekalian hamba rakyat juga menjadi saksi sepanjang umur ini, Tuanku telah meluaskan kebaikan untuk rakyat dan negara menerusi pelbagai peranan. Dari singgahsana dan di atas takhta, Tuanku menyempurnakan amanah dengan menghadirkan manfaat kepada jelata pertiwi.

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”
(Riwayat Ahmad)

Doa kami sekalian hamba rakyat, moga Allah S.W.T mengurniakan istiqamah kepada Tuanku.

Ampun Tuanku,

Patik memahami, berada di singgahsana dan di atas takhta bukanlah untuk kesenangan dan kemegahan. Dalam konteks Raja Berpelembagaan menurut sistem demokrasi berparlimen negara ini, sememangnya kedudukan Tuanku menuntut kebijaksanaan dan hikmah. Hal tersebut telahpun diteladankan Tuanku demi memastikan kestabilan politik tertegak dengan menunaikan tugas menurut kuasa diperuntukkan.

Kini bersama Tuanku adalah kerajaan yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin negara untuk memacu Malaysia agar dicontohi dan disegani dunia. Lebih meyakinkan, negara ini sudahpun berdiri dengan asas teguh sebagaimana terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu, ditangan Tuanku adalah kuasa untuk menjadikan negara ini terus sejahtera dengan pertolongan-Nya.

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”
(al-A’raaf: 96)

Semoga Allah S.W.T kurniakan Tuanku hidayah, riayah dan inayah, kekuatan jasmani, keteguhan takwa untuk memerintahan dan memayungi rakyat jelata serta mempertahankan kedaulatan agama dan negara.

“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu.”
(Riwayat Muslim)

Allahuakbar! Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku!

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/5/2020