Kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong

institusi

DALAM kalender, Sabtu pertama dalam bulan Jun, negara kita menyambut ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong (YDA). Walau bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini sambutan keputeraan YDA dibuat dalam bulan September kerana tarikh asalnya jatuh dalam bulan Ramadan. Pada tahun ini, tarikh asal hari keputeraan YDA ialah pada hari Sabtu 6 Jun 2020 tetapi dipinda pada 8 Jun 2020. YDA sekarang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu dalam satu mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu (MRR) sebagai YDA ke 16 pada 24 Januari 2019 selepas 9 hari ditabalkan sebagai Sultan Pahang menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang gering ketika itu. Baginda telah mengangkat sumpah jawatan sebagai YDA pada 31 Januari 2019.

Jawatan YDA merupakan satu-satunya jawatan unik dalam dunia. Ini kerana, YDA dipilih oleh MRR dari kalangan sembilan Raja-raja Melayu bagi satu tempoh lima tahun. Maka seseorang Sultan yang dipilih sebagai YDA tidak boleh memegang jawatan seumur hidup sebagaimana raja-raja lain yang wujud di dunia. Sebagai contoh, Permaisuri Elizabeth di United Kingdom merupakan pemerintah beraja yang paling lama bersemayam di atas takhta sehingga kini.

Advertisement

Hakikatnya, institusi YDA lahir dari kemerdekaan Tanah Melayu. Sebelum itu, tidak wujud satu institusi beraja di peringkat Persekutuan. Hanya terdapat sembilan Sultan atau Raja yang diiktiraf sehingga sekarang. Seperti yang disebut sebelum ini, salah seorang daripada Sultan atau Raja akan dipilih oleh baginda-baginda tuanku untuk menjadi YDA bagi tempoh lima tahun. YDA boleh meletak jawatan. Sejarah juga telah menyaksikan satu-satunya YDA, Sultan Muhammad V YDA ke-15 yang menaiki takhta pada 13 Disember 2016 meletak jawatan pada 6 Januari 2019. Menurut Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan, YDA boleh boleh meletak jawatan pada bila-bila masa dengan menghantar surat peletakan jawatan kepada MRR. YDA juga boleh dilucutkan jawatannya oleh MRR. Seseorang Sultan yang dipilih menjadi YDA akan terlucut jawatannya sekiranya baginda tidak lagi menjadi Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Institusi YDA sangat signifikan bagi rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu institusi yang disanjung tinggi dan memain peranan penting dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Institusi YDA bukanlah satu institusi yang hanya bersifat ceremonial dan rubber stamp. Ia merupakan satu institusi yang tertinggi tubuhkan oleh pembuat Perlembagaan bagi mengetuai Persekutuan Malaysia. Menurut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, YDA adalah Ketua Tertinggi (Supreme Head) bagi Persekutuan Malaysia yang kedudukannya mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia. YDA tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas yang diwujudkan di bawah Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

Kewujudan institusi YDA dan MRR berperanan sebagai juru audit tambahan dari segi Perlembagaan. Malah ternyata, ada bukti dalam Laporan Suruhanjaya Reid, kewujudan YDA dan MRR adalah sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, pelindung kepada hak-hak baginda-baginda, mempertahankan agama Islam, Bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan-Melayu.

Fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dari sistem Westminster dari England. Dalam menjalankan tugas, YDA dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri. Baginda tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati. Ini dapat dilihat dalam Perkara 40 (1) (1A) Perlembagaan Persekutuan di mana YDA dikehendaki bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam perkara-perkara yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

YDA adalah ketua negara tetapi bukan ketua badan eksekutif. Kuasa eksekutif yang diberi kepada baginda adalah terhad tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang diberi dan yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39). Namun begitu, YDA boleh menggunakan budi bicara baginda, melantik Perdana Menteri mengetuai Kabinet (Perkara 43(1)). Walau bagaimanapun, dalam melantik seseorang Perdana Menteri, YDA hendaklah memastikan individu yang dilantik itu mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen (Perkara 43 (2) (a)). Hal ini dapat dilihat dalam pelantikan Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Perdana Menteri Ketujuh Tun Mahathir Mohamad meletak jawatan dan tertumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan. Meskipun pada pengamatan ramai bahawa majoriti perwakilan Dewan Rakyat yang diperolehi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tipis, tetapi pada menjalankan budi bicara baginda YDA dalam melantik seseorang sebagai Perdana Menteri, baginda tuanku yakin ia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Selepas melantik Perdana Menteri, YDA hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik Jemaah Menteri dari kalangan Ahli Parlimen sama ada dari kalangan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara (Perkara 38 (2) (b)).

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada YDA untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dari Kabinet. Ini dapat dilihat bila mana Tun Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 setelah beliau mendapati bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa itu.

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, Undi Tidak Percaya kepada beliau boleh dibuat di Dewan Rakyat. Sekiranya Undi Tidak Percaya menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dan menasihati YDA untuk membubarkan Parlimen. YDA boleh atau tidak, mengikut budi bicara baginda membubarkan Parlimen.

YDA tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri mempunyai kuasa memecat Menteri Kabinet. Pemecatan boleh dibuat dengan surat dikeluarkan oleh Perdana Menteri dengan memaklumkannya kepada YDA tanpa perlu kepada perkenan YDA (rujuk kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim lwn Perdana Menteri [1995] 5 MLJ 193).

Begitu juga, apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota Kabinetnya juga akan terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri adalah Ketua Kabinet dan Kabinet dilantik oleh YDA untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas-tugas baginda. Kabinet secara kolektifnya bertanggung jawab kepada Parlimen (Perkara 40 (1) (2) (a) dan (3)).

Tertakluk kepada Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Kabinet selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selagi dikehendaki oleh YDA (shall hold office during the pleasure of the YDA), kecuali jawatan seseorang Ahli Kabinet itu ditarik balik oleh YDA atas nasihat Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, seseorang Ahli Kabinet pada bila-bila masa boleh meletak jawatan.

Tetapi sebelum seseorang Ahli Kabinet menjalankan tugasnya, ia hendaklah mengangkat sumpah jawatan di hadapan YDA bagi menyimpan rahsia rasmi tugasan sebagaimana dalam Jadual Keenam (Perkara 43 (6)).

Begitu juga, YDA atas nasihat Perdana Menteri boleh melantik Ahli-ahli Timbalan Menteri dari kalangan Ahli-ahli Parlimen sama ada dari Dewan Rakyat atau Dewan Negara (Perkara 43A (1)). Dalam menjalankan tugas, Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri dan dalam hal ini ia mempunyai semua kuasa seperti yang diberi kepada Menteri. Maka peruntukan dalam Perenggan (5) dan (6) di bawah Perkara 43 adalah terpakai ke atas Timbalan Menteri seperti yang terpakai ke atas Menteri.

Meskipun begitu, dalam urusan pelantikan Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik, kuasa ini diserahkan kepada Perdana Menteri (Perkara 43B (1) & 43C (1). Untuk Setiausaha Parlimen, ianya mesti terdiri dari salah satu ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara (Perkara 43B (1). Manakala bagi Setiausaha Politik ia tidak perlu dari kalangan Ahli Parlimen (Perkara 43C (2) (a)).

YDA juga mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Hak ini tidak perlu diikuti walaupun dinasihat oleh Perdana Menteri. Ini adalah kerana kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak YDA (Perkara 40 (2) (b)).

Dalam menjalankan tugas, mengikut Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan, YDA dari masa ke semasa hendaklah memanggil Parlimen untuk bersidang dan hendaklah memastikan persidangan Parlimen itu tidak melangkaui tempoh enam bulan dari persidangan yang lepas.

Satu kuasa besar yang diberi kepada YDA oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 55 (2) ialah baginda boleh menangguh (prorogue) atau membubar Parlimen.

YDA juga mempunyai kuasa mutlak dalam memperkenankan perisytiharan darurat. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut, YDA setelah berpuas hati bahawa keselamatan, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam tergugat, boleh membuat perisytiharan darurat. Namun perisytiharan ini tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolak permintaan tersebut.

YDA mempunyai kuasa dan tanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak di samping melindungi kepentingan komuniti lain (Perkara 153(1)).

Dalam memberi pingat dan darjah, YDA mempunyai kuasa mutlak memandangkan ianya tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hubungan dengan kehakiman, YDA mempunyai fungsi tertentu walaupun dari segi institusi, YDA bukanlah sebahagian dari badan kehakiman tetapi mempunyai hubungan dengan badan ini dalam beberapa perkara, antara lain, merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dalam mendapatkan pandangan mengenai sebarang persoalan Perlembagaan (Perkara 130).

YDA juga berfungsi melantik Hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara (Perkara 122B). Baginda juga mempunyai kuasa untuk melucut atau menggantung Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 125). YDA juga mempunyai kuasa melantik Ahli-ahli Suruhanjaya Kehakiman dan Undang-undang (Perkara 138).

YDA juga adalah Pengerusi Badan Pengampunan di mana kesalahan itu berlaku di Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Bagi negeri-negeri pula, kuasa pengampunan ini dianugerahkan kepada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri (Perkara 42 (1)).

Menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan, YDA adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Ia adalah jawatan kanan tertinggi dalam struktur pemerintahan angkatan bersenjata Malaysia. Ia lahir dalam tahun 1957 susulan kemerdekaan Tanah Melayu.

Kedudukan Islam dan hubungannya dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu

Perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam adalah terletak secara eksklusif di bawah kuasa Sultan dan YDA bagi negeri yang tiada Sultan. Pelantikan hakim-hakim di Mahkamah Syariah adalah dibuat oleh sultan-sultan bagi negeri-negeri dan YDA bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Ini termasuk pelantikan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Terdapat sesetengah negeri, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam terdiri dan Raja Muda (Pahang). Pelantikan Mufti juga terletak di bawah kuasa Sultan-sultan dan YDA bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Hal-hal berkaitan dengan pentadbiran masjid-masjid, pertauliahan guru-guru agama dan pendakwah hendaklah mendapat perkenan Sultan-sultan dan YDA.

Sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja (Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak), YDA berperanan supaya perjalanan hal ehwal Islam berjalan dengan lancar dengan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau Wilayah Persekutuan demi membantu dan menasihat baginda dalam semua urusan yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam (Perkara 3(5), 3(3) dan 3(5)).

Kesimpulan

Sebagai Ketua Negara, YDA dilihat memain peranan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda bertindak sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) supaya ketua-ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil dan penuh tanggungjawab demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

Meskipun YDA bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa besar yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman. Tanpa prejudis, YDA boleh menggunakan budi bicara baginda menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara (Perkara 150(1)). Ini demi untuk memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia – HARAKAHDAILY 8/6/2020

https://www.facebook.com/mohamedazam.mohamedadil

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.