Kemunculan firqah: Dimensi politik dalam sejarah Islam

LATAR belakang

(1) Dalam dunia kesarjanaan Islam, kita perlu dengan dimensi yang luas. Supaya akal dapat diproses dengan baik dalam menilai sesuatu peristiwa, tanpa prejudis, melihat secara matang, dan jauh daripada sentimen serta ketaksuban.

Apatah lagi dalam perbincangan mengenai mazhab, aliran pemikiran, kepuakan, politik, dan sebagainya. Kegagalan dalam memahami secara dimensi yang luas, biasanya akan mengheret kepada pergaduhan, sentimen dan sebagainya.

(2) Dalam tulisan-tulisan lalu saya ada menceritakan mengenai sejarah kemunculan firqah-firqah dalam Islam. Dalam artikel tersebut menceritakan mengenai kemunculan pemikiran-pemikiran dalam ketamadunan Islam [1] dan sebagainya.

Dalam artikel ini saya lebih cenderung untuk berkongsi mengenai kerencaman suasana politik, khususnya dalam dunia Islam sehingga mengheret kepada pertelingkahan yang berbaur pemikiran, atau firqah.

Advertisement

(3) Antara krisis politik yang terawal dalam sejarah Islam selepas kewafatan Nabi S.A.W, kemunculan pengaruh Nabi palsu, konflik Iraq dengan Saidina Uthman sehingga menyebabkan kematiannya, konflik Saidina Ali dan Sayyidah Aisyah dan sebagainya.

Hal ini perlu melihat dalam neraca jernih, dengan niat untuk mendalami. Saranan ini diungkapkan oleh Imam Ibrahim al-Laqqoni di dalam Jauharah Tauhid;

وَأَوِّلِ التَّشَاجُـرَ الـذَّيِ وَرَدْ

إِنْ خُضْتَ فِيهِ وَاجْتَنِبْ دَاءَ الحَسَـدْ

“Ta’willah perselisihan yang terjadi, sekiranya kamu mendalami isu ini dan jauhilah daripada penyakit hasad.”

Matan ini menceritakan mengenai pendekatan kita supaya mengambil pendekatan takwil terhadap konflik yang terjadi di kalangan Sahabat R.A.

Konflik politik di kalangan Sahabat R.A

(1) Konflik politik yang terjadi khususnya pertembungan antara kumpulan Saidina Ali dan Saidina Mu’awiyah. Pertembungan politik ini menyebabkan munculnya kelompok Syiah yang berselisih dari sudut politik.

Sejak itu muncullah Khilafah Umawiyyah yang merupakan keturunan Saidina Mu’awiyyah. Disebabkan untuk menjaga kekuasaan, ada dari kalangan khalifah yang bertindak membunuh orang Islam sendiri.

(2) Contohnya apa yang dilakukan oleh Yazid bin Mu’awiyyah yang melakukan kezaliman terhadap keturunan Nabi S.A.W. Hal ini menaikkan lagi sentimen yang diperjuangkan oleh kelompok Syiah. Setelah kematian Yazid, pentaksubnya mengasaskan ajaran Yazidiah.

Di dalam الموسوعة الميسرة في الأديان والمذاهب والأحزاب المعاصرة, menyatakan ajaran Yazidiah lama kelamaan terpesong semakin jauh daripada akidah yang sebenar. Di sini kita boleh faham faktor politik yang memberi kesan terhadap munculnya ideologi dan firqah-firqah yang banyak.

(3) Di dalam kitab التفسير والمفسرون ada menceritakan mengenai situasi kemunculan Syiah yang seterusnya mengheret kepada kesan terhadap penafsiran al-Quran. Iaitu situasi kekejaman terhadap keturunan Saidina Ali R.A akhirnya menimbulkan simpati.

Simpati yang amat sangat ini akhirnya membawa kepada taksub yang melampau sehingga meletakkan keutamaan Saidina Ali sebagai khalifah berbanding Saidina Abu Bakr, Saidina Uthman dan Saidina Ali R.A.

(4) Sedangkan individu-individu itu kesemuanya telah pergi menemui Allah S.W.T. Maka, perbincangan mengenai keutamaan Saidina Ali R.A sebagai khalifah hanya tinggal begitu sahaja dan tidak relevan lagi untuk dibincangkan.

Kemunculan Khawarij juga jelas disebabkan isu politik. Khawarij dikatakan dalang yang menyebabkan kematian Saidina Uthman dan pada peringkat permulaannya menyokong Saidina Ali R.A. Tak lama kemudian keluar daripada sokongan itu.

Bani Umayyah vs Bani Abbasiah

(1) Mungkin ringkasan secara kasar yang saya ceritakan ini terdapat perselisihan di kalangan sejarawan. Namun, kita ambil pendekatan yang disarankan oleh Imam Ibrahim al-Laqqoni yang saya nyatakan di awal tadi.

Iaitu mereka yang ingin mengkaji sejarah ini secara akademik dipersilakan. Cuma pastikan jauh daripada elemen hasad dengki dan sentimen ketaksuban. Perjuangan berkobar setara mana pun, tokoh-tokoh tersebut sudah tiada, dan ia menjadi sejarah.

(2) Ya, sejarah perlu dikaji dan diteliti, supaya kita tidak ulangi kesilapan yang sama. Cumanya yang perlu kita waspadakan ialah kajian itu bukanlah untuk menyalahkan sesiapa, apatah lagi menghukum. Sebaliknya jadikan pengajaran.

Sekadar contoh apabila ada dari kalangan penuntut ilmu yang tak sudah-sudah berbincang isu perselisihan antara Saidina Ali dan Saidina Mu’awiyyah. Seolah-olah konflik di zaman itu cuba dibakar pada hari ini.

(3) Sama juga realiti kebangkitan Bani Abbasiah yang menjatuhkan Bani Umayyah. Ya, dalam catatan sejarawan kemunculan Bani Abbasiah yang merupakan keturunan Nabi S.A.W seolah-olah tidak tahan dengan kezaliman terhadap keturunan Baginda S.A.W.

Tidak wajar kita samakan perjuangan membangunkan Khilafah Abbasiah dengan perjuangan Syiah hanya kerana kesamaan ciri-ciri kecintaan kepada keluarga Baginda S.A.W. Saya melihat perselisihan Bani Abbasiah dan Bani Umayyah adalah dari sudut kuasa politik.

(4) Apabila pemerintahan pusat (Baghdad) jatuh ke tangan Abbasiah, beberapa negara yang lain masih lagi mengikut aliran Umayyah, seperti Andalus yang dibuka sejak zaman Umayyah lagi. Maka, berlakulah pertembungan politik.

Andalus yang berada di pihak ‘pembangkang’ tidak sehaluan dengan ‘kerajaan pusat (federal)’ yang sudah dikuasai oleh Bani Abbasiah. Sehinggakan Andalus mengisytiharkan diri sebagai sebuah khilafah Islamiah. [2]

Suasana yang rencam

(1) Konflik pertembungan politik antara Bani Abbasiah dan Bani Umayyah boleh dikatakan berakhir dengan kejatuhan Andalus ke tangan Barat. Hal ini pernah saya huraikan dalam artikel sebelum ini [2].

Bahkan di antara penghujung zaman Umayyah dan di awal zaman Abbasiah menyaksikan para ulamak ada yang dipenjara. Imam Abu Hanifah R.A meninggal dalam penjara. Imam Ahmad bin Hanbal diseksa dalam penjara dan banyak lagi.

(2) Di awal zaman Abbasiah, khalifah ketika itu cenderung dengan fahaman Muktazilah. Bahasa mudahnya, Muktazilah mendominasi politik Islam ketika itu. Menyebabkan munculnya usaha-usaha untuk berhujah dengan mereka.

Antaranya muncul Imam Abu Hassan al Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi yang dikenali sebagai pengasas Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Bahasa mudahnya, ASWJ muncul di celah-celah suasana politik dikuasai oleh geng Muktazilah.

(3) Mungkin boleh ditimbulkan persoalan, sebelum kemunculan ASWJ, para ulamak bermazhab apa? Kalau nak kata mereka itu beraliran Salaf, perlu tahu bahawa dalam ASWJ sendiri ada dua aliran, iaitu Salaf dan Khalaf.

Maka, mengapa hari ini sengaja ditimbulkan konflik perbalahan antara Salaf dan Khalaf? Perlu sedar juga bahawa ada dari kalangan mereka yang bersikap keras dalam bermazhab. Hal ini berlaku sepanjang zaman.

(4) Ada dari kalangan Syiah yang keras, ada dari kalangan Muktazilah yang keras, ada dari kalangan ASWJ yang keras dan banyak lagi. ‘Kekerasan’ mereka bermazhab inilah yang mengheret kepada pergaduhan sesama mazhab.

Hal ini merugikan umat Islam. Lihatlah akibat pergaduhan Umayyah dan Abbasiah akhirnya menyaksikan kejatuhan Andalus ke tangan Kristian. Pergaduhan mazhab juga menjadi punca jatuhnya Abbasiah di tangan Tatar.

Dunia hari ini

(1) Di awal zaman kemunculan mazhab (firqah) dalam sejarah Islam menyaksikan perselisihan cuma dari sudut politik. Namun, setelah berlalu beberapa zaman, mazhab-mazhab ini mula berkembang ke arah feqah dan aqidah.

Contohnya mazhab feqah, sehingga hari ini secara feqahnya kita masih boleh menerima feqah yang diamalkan oleh Syiah Imam 12, Syiah Zaidiyyah, Mazhab Ibadhi (pecahan Khawarij) dan beberapa mazhab yang telah kita ketahui.

Maksudnya perselisihan itu masih dalam skop ‘ahli kiblat’ yang tidak mensyirikkan Allah S.W.T. Tidak dinafikan, ada Mazhab Syiah yang keras dan melampau yang setahap syirik seperti menganggap ketuhanan Saidina Ali dan sebagainya.

(2) Selain daripada Syiah, ada juga ASWJ yang agak keras, sehingga mengkafirkan semua Syiah sekali gus. Ada juga yang bersikap keras sehingga menolak aliran Salaf. Sama juga aliran Khawarij. Yang paling rapat dengan ASWJ ialah Ibadhi menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah.

Golongan Wahhabi juga beraliran Salaf. Namun ada dari kalangan mereka yang bersifat keras melampau, ada yang ‘boleh diajar sembang’. Sama juga golongan Ahbasy yang dilihat terlajak keras sehingga mengkafirkan Wahhabi.

(3) Namun disebabkan blok politik, menyebabkan umat Islam berpecah-pecah sepertimana sejarah lampaunya. Rata-rata penganut ASWJ berada di blok Barat [3] manakala Syiah pula berada di blok Timur.

Di kalangan ASWJ yang berada di dalam blok Barat pula bersaing sesama sendiri untuk menjadi dominan dalam dunia Islam. Lalu muncullah persaingan antara UAE-Saudi-Qatar [4].

(a) Qatar lebih mesra dengan gerakan Islam lalu ‘dipulaukan’ pada 2017.

(b) UAE dan Mesir berpakat dengan Chechnya mengadakan Muktamar International untuk menyingkirkan Saudi dengan membakar sentimen anti-Wahhabi.

Ringkasnya, dalam meneliti sesuatu catatan sejarah, atau mazhab (firqah) jangan lupa untuk mengkaji suasana politik ketika itu. Sejarah itu untuk dikaji dan dijadikan pengajaran, bukannya dijadikan bahan untuk membakar perpecahan yang berulang.

[1] https://www.facebook.com/ibnu.irfadzil/posts/3111899058851833

[2] https://www.facebook.com/ibnu.irfadzil/posts/3750036758371390

[3] https://www.facebook.com/ibnu.irfadzil/posts/3349135088461561

[4] https://www.facebook.com/ibnu.irfadzil/posts/3400538919987844

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 8/6/2020