OPR harus dikekalkan pada paras 2.00%

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan pasaran monetari Malaysia sekarang sudah berada dalam situasi optimum.

Advertisement

Oleh itu kami menyarankan bahawa buat masa ini pasaran Malaysia tidak memerlukan pemotongan Kadar Faedah Semalaman (OPR) sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang. OPR Malaysia sekarang berada pada kadar 2.00%.

Pandangan kami berdasarkan beberapa faktor. Antaranya adalah faktor pertumbuhan pinjaman. Berdasarkan data terkini Bank Negara Malaysia (BNM) kadar pertumbuan pinjaman semasa adalah pada 4.0% setakat April 2020, yang mana ianya disokong oleh kadar pertumbuhan pinjaman sektor perniagaan yang tumbuh pada 4.7%.

Walau bagaimanapun pertumbuhan pinjaman unntuk sektor isi rumah turun kepada 3.3%. Secara keseluruhan nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) berada pada 82.5%, disokong oleh kadar deposit darpada penyimpan inidividu yang tumbuh pada 6,2% setakat April 2020.

Justeru bagi terus menyokong pertumbuhan ekonomi terutama pasca pandemik Covid-19 pertumbuhan pinjaman dan deposit harus berada pada paras optimum.

Untuk menggalakkan penyimpan terus membuat deposit dan pelaburan maka OPR harus dikekalkan pada tahap sekarang. Kami berpandangan penurunan OPR dibawah paras 2.00% akan menjejaskan pertumbuhan deposit yang seterusnya memberi kesan kepada kadar pertumbuhan pinjaman.

Disamping faktor kadar pertumbuhan deposit dan pinjaman, faktor paras harga juga memerlukan OPR dikekalkan pada tahap sekarang bagi memastikan ianya kekal optimum dan mengelakkan tekanan deflasi, kesan daripada krisis pandemik Covid-19.

Data terkini daripada Jabatan Statistik menunjukkan paras Indeks Harga Pengeluar (PPI) turun sebanyak 5.1% untuk April 2020 berbanding tahun lepas, penurunan paling drastik semenjak November 2015. Untuk bulanan PPI turun pada 2.7% berbanding bulan Mac 2020.

Disamping itu Indeks Harga Pengguna (CPI) juga mengalami penurunan pada 2.9% berbanding April tahun 2019, penurunan paling drastik semenjak 2010. Untuk bulanan CPI juga turun pada kadar 2.7% berbanding bulan Mac 2020.

Justeru itu kami berpandangan paras harga sekarang harus dikekalkan bagi mengekalkan keseimbangan pasaran.

Dengan mengekalkan OPR pada paras 2.00% untuk tempoh sekarang, akan mengimbangi kelangsungan di pihak pengeluaran dan juga permintaan, yang seterusnya boleh menyokong dan menyelamatkan ekonomi.

Secara keseluruhannya kadar OPR sekarang adalah optimum dan seimbang untuk terus menyokong pengeluaran dan permintaan, juga dalam masa yang sama menggalakkan pertumbuhan deposit dan pinjaman.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/6/2020