PAS-Umno-BERSATU saling melengkapkan – Dr Ridhuan Tee

KUALA LUMPUR: Perkongsian kerusi dan kuasa melibatkan tiga parti Melayu-Islam iaitu Umno, PAS dan BERSATU dilihat lebih seperti adik-beradik, demikian pandangan Ahli Akademik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Advertisement

Beliau membidas dakwaan seorang mantan Menteri Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan PAS dan Umno sebagai rakan komponen tidak boleh dipercayai dalam Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU akan diperkudakan.

Walhal katanya, pada hemat beliau realiti politik Melayu menjadikan ketiga parti itu saling melengkapkan wacana politik masa depan Melayu dan Bumiputera disebalik kegagalan Kerajaan PH menunaikan agenda reformasi politik.

“Perlu diingat, kemenangan PH bukan di atas kekuatan undi sebenar populariti PRU14. Undi popular yang diperolehi PH hanya 47 peratus berbanding BN (34 peratus), PAS (18 peratus) dan Bebas (1 peratus).

“Malahan kemenangan PH adalah disebabkan kembalinya pengawal elit lama politik yang menyokong Tun Dr Mahathir dalam arena politik semasa.

“Setelah kejatuhan Najib, Umno telah pun membuat pembaharuan politik parti dan lebih berdiplomasi dan mendengar luahan akar umbi,” ujar Pensyarah Institusi Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu.

Beliau melihat PAS masih meneruskan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) untuk kepentingan ummah, tetapi malangnya PH pula dilihat terlalu dikuasai oleh ultra kiasu menyebabkan rakyat terutama Bumiputera merasakan tertipu dan dikhianati.

Beliau mengungkit mengenai ribuan yang kehilangan pekerjaan dan hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang, sedangkan kumpulan proksi kroni ultra kiasu terus hidup dan mendapatkan banyak projek mega sehingga aset negara hilang begitu sahaja.

Malahan kesali beliau, lebih mengejutkan apabila Menteri Kewangan ultra kiasu yang dipercayai merujuk Lim Guan Eng dikatakan lebih berkuasa daripada Menteri Pendidikan ketika itu dalam soal pendidikan vernakular.

“Konsensus sebagai alasan kenapa umat Melayu dan Bumiputra perlu mengorbankan hak mereka kononnya untuk berlaku adil kepada bukan Bumiputera. Tetapi hakikatnya, siapa yang menindas siapa dalam soal hak, maruah dan agama. Sehingga terpaksa mengadakan Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019.

“Yang menyedihkan kuasa Melayu terpaksa akur dengan kehendak pendidikan bukan Melayu ultra kiasu daripada 6 muka surat tulisan kepada 3 muka surat Jawi dan akhirnya hanya tinggal surat sahaja. Jawi hilang entah ke mana,” imbas beliau.

Dr Ridhuan Tee turut mengupas pembahagian kerusi antara parti-parti tersebut akan membolehkan 187 kerusi diperolehi bagi majoriti Melayu-Bumiputera, manakala bakinya majoriti Cina dan campuran.

“Jadi, pembahagian kerusi Parlimen bagi Umno, PAS dan BERSATU boleh dibahagikan mengikut keboleh menang sesuatu kawasan dan kekuatan pengaruh parti tersebut. Jika dilihat ketiga-tiga parti iaitu Umno, PAS dan BERSATU adalah Melayu dan Islam.

“Maka, perkongsian kerusi dan kuasa perlu lebih kepada adik beradik. Ini berlainan dengan tuduhan mengatakan PAS menikam belakang dan tidak boleh dipercayai.

“Persoalannya terkeluar PAS daripada Pakatan Rakyat kerana campur tangan komponen parti itu untuk memecah belahkan PAS yang berakhir dengan tertubuhnya PAN.

“Malahan Barisan Alternatif terkubur pun disebabkan DAP keluar daripada gabungan itu disebabkan penentangan DAP ke atas undang-undang Hudud. Bukan salah PAS,” hujahnya.

Beliau turut mengemukakan pandangan pemfokusan parti-parti tersebut terhadap negeri untuk diperintah, selain menjangka senario yang ada membolehkan PAS mendapat kerusi di Sabah dan Sarawak berdasarkan sokongan dan pengaruh.

Jelasnya, hal tersebut berdasarkan peningkatan sokongan dan keahlian Melayu dari negeri tersebut khususnya Melayu Brunei Sabah dan Melanau Sarawak serta meyakini pembahagian kerusi berdasar sokongan dan kekuatan parti.

“Ini berbeza dari amalan PH. Amalan PH dalam PRU14, DAP ultra kiasu mengambil 50 kerusi Parlimen, PKR mengambil 100 kerusi Parlimen iaitu 40 kerusi bukan Bumiputera dan 60 kerusi Bumiputera.

“BERSATU di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir hanya mengambil 50 kerusi Parlimen dan 22 kerusi Parlimen Sabah diberikan kepada WARISAN. Di atas pembahagian ini menampakkan wakil Bumiputera dan Melayu lebih ramai.

“Hakikatnya, bila berlaku pilihan raya sebenar, calon bukan Bumiputera dan bukan Melayu menang lebih ramai daripada calon Bumiputera dan Melayu. Inilah strategi licik ultra kiasu,” ujarnya.

Keadaan tersebut kupasnya, menyebabkan PH terpaksa merayu ahli-ahli Parlimen Bumiputera dan Melayu menyertai PH, tetapi akhirnya, pihak yang mendominasi siapa memaksa beberapa kali ‘u-turn’ terjadi untuk akur kepada kehendak bukan Melayu.

“Di manakah keberanian dan kekuatan politik Melayu dalam semasa PH berkuasa sebagai kerajaan? Pengalaman lalu tidak semestinya dijadikan ukuran bagi mengesahkan sesuatu tuduhan.

“Mungkin mantan Menteri ini sengaja membutakan mata, tidak nampak bahawa PAS dan Umno banyak berubah dan belajar dari kesilapan lalu.

“Bukan kuasa dan angka kerusi Parlimen menjadi hambatan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang diiktiraf oleh Yang di-Pertuan Agong. Sendiri buat salah tetapi meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain dengan berbagai tuduhan,” bidasnya.

Menurutnya, PAS bertanding di kesemua kerusi Parlimen dalam PRU14 kerana takut kerusi tersebut jatuh ke PH memandangkan sentimen anti-Najib semakin kuat dan bukannya untuk berlaku khianat.

Beliau memberikan beberapa contoh terhadap pembelaannya itu, sebaliknya menempelak pihak lain yang bersikap sebaliknya konon di atas nama konsensus, walhal hakikatnya tidak adil berbanding berlaku dalam PN.

Beliau juga menyangkal analisis politik dibuat mantan Menteri tersebut dengan mengemukakan perkembangan sokongan rakyat yang dapat dilihat kepada beberapa pilihan raya kecil mutakhir.

“Bila masa BERSATU dipinggirkan sedangkan yang bercakap dan yang berkerja di depan televisyen setiap hari tersebut adalah Tan Sri Muhyiddin selaku Pengerusi BERSATU?

“Bila masa PAS dan Umno campur tangan dalam soal kepemimpinan negara sehingga BERSATU dipinggirkan? Nampaknya takut akan bayang-bayang sendiri maka diteriaknya hantu sedang merasuk dirinya. Adakah ini berlaku pada beliau pada siang hari?

“BERSATU masih dominan dalam PN kerana kepemimpinan negara di bawah Pengerusi BERSATU dan bukannya di tangan PAS atau Umno. Inilah hakikat yang perlu diterima.

“Bukan seperti PH (di mana) BERSATU memimpin kepimpinan negara tetapi akhirnya akur kepada DAP,” bidasnya lagi menyangkal hujah mantan Menteri itu.

Kata Dr Ridhuan, perlu disedarkan juga BERSATU tidak mempunyai kuasa dominasi ke atas mana-mana negeri disebabkan parti ini baru ditubuhkan pada penghujung 2017, berbanding PAS dan Umno yang sudah enam dekad.

Oleh itu serunya supaya berlapang dada usah cemburui dengan segala dimiliki Umno dan PAS di mana keduanya tidak memalingkan muka dari BERSATU yang dilihat masih berpegang kepada jiwa Islam dan Melayu.

“Tiada mana-mana parti yang dominan dalam PN. Cuma, kini kepimpinan negara adalah di bawah Pengerusi BERSATU maka BERSATUlah yang memacu dan membuat keputusan negara.

“Perlu diingatkan formula untuk PN adalah saling mempercayai antara satu sama lain dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2020